Wednesday, March 19, 2008

TAHNIAH PENEROKA KEMAHANG 3

Permohonan Felda tangguh bayar ganti rugi RM7.8j ditolak-Utusan Malaysia 19 Mac 2008

KOTA BHARU 18 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Felda bagi menangguhkan pelaksanaan penghakiman mahkamah berkenaan yang mengarahkannya membayar ganti rugi RM7.8 juta kepada 354 peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah kerana menipu urus niaga penjualan hasil kelapa sawit.

Hakim Datuk Mohd. Azman Husin membuat keputusan itu di kamar beliau hari ini.
Peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili peneroka terbabit sebagai plaintif ketika ditemui selepas prosiding itu di luar mahkamah memberitahu bahawa mahkamah menolak permohonan Felda itu tanpa sebarang kos.

“Ini bermakna Felda tetap kena bayar ganti rugi yang ditetapkan sebelum ini oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 13 Januari lalu sebanyak RM7.8 juta berserta faedah lapan peratus iaitu sebanyak RM1,711 sehari.

‘‘Ia bermula pada 24 September 2002 sehingga hari ini yang kesemuanya sudah berjumlah hampir RM12 juta,” katanya kepada pemberita di perkarangan mahkamah di sini.
Bagaimanapun, tambah Wan Rohimi, mahkamah telah menggunakan budi bicara dengan mengeluarkan perintah lanjutan kepada Felda untuk mendepositkan wang tersebut ke dalam akaun bersama antara pihak peguam peneroka dan peguam Felda.

Beliau berkata, bayaran ganti rugi bersama dengan faedah itu akan kekal dalam akaun bersama tersebut sehingga rayuan kes itu oleh Felda selesai di Mahkamah Rayuan, Putrajaya kelak.
Pada prosiding itu di kamar hakim, Felda yang dinamakan sebagai defendan dalam kes itu diwakili dua peguam, Teo Poh Oom dan Tengku Alina Alias.

Tuntutan saman itu difailkan oleh kesemua peneroka tersebut pada 22 September 2002 dengan menamakan Felda sebagai defendan pertama, Pengurus Rancangan Felda Kemahang 3, Tanah Merah, Ibrahim Ismail (defendan kedua) dan Felda Palm Industries Sdn. Bhd. (defendan ketiga).

Mereka antara lain mendakwa berlaku penipuan dalam urusan jual beli hasil atau buah sawit yang dijual oleh defendan kedua atau defendan pertama kepada defendan ketiga bagi pihak plaintif.

Keadaan itu disedari apabila seorang daripada plaintif telah menemui salinan asal 'Akuan Penerimaan BTS (berat timbang sawit) yang dikeluarkan oleh defendan ketiga yang mengandungi cop penjual mengakui hantaran mutu BTS di bawah KPG (Kadar Perahan Gred) 18 peratus.

Mengikut salinan asal surat akuan itu, 'penjualan BTS itu di atas dasar kehendak penjual dan penjual bersetuju KPG yang dibayar'.

Sunday, March 16, 2008

Pengurus FELDA Tidak Bertamadun

Kisah Felda menekan penyokong pembangkang di rancangan Felda bukanlah cerita baru.Tahun 80an semasa penulis di bangku sekolah sudah banyak kedengaran cerita sebigini.Ramai peneroka ketika itu dibuang rancangan kerana terlibat dengan PAS khususnya.
Pernah berlaku satu kes,seorang penyokong PAS di Jengka 23,rumahnya dikepung polis dan FRU bagai seorang penjenayah besar,beliau disingkir dari rancangan Felda semata-mata kerana berani menyoal soalan yang pedas kepada Menteri Tanah ketika itu iaitu Dato' Rais Yatim dalam satu sesi lawatan menteri berkenaan ke kawasan Jengka.
Hj Suhaimi Said peguam PAS ketika itu(sekarang Ketua PKR Bahagian K.Krau) mempertaruhkan diri beliau untuk menghadapi kerakusan pentadbiran Felda.Selepas Felda menghadapi berbagai saman dari peneroka ,kejadian singkir,tekanan ke atas peneroka tidak berlaku lagi.
Tetapi hari ini,mungkin generasi mentadbir Felda ini tidak teringat kisah 20 tahun dahulu.Mereka cuba mengulangi kesilapan yang sama.Semenjak Felda diletakkan di bawah telapak kaki TPM ,Najib Razak,Felda telah menjatuhkan martabatnya dengan menjadi lembu yang dicucuk hidung oleh Umno /BN untuk menekan penyokong PAS dan parti pembangkang yang lain.
Di Jengka dalam kempen pilihanraya yang lepas,terdapat pengurus yang melarang PAS cawangan menganjurkan ceramah di permis persendirian.Di Jengka 17 contohnya,Pengurus Felda mengarahkan PAS Cawangan mengadakan ceramah di dalam rumah tanpa pembesar suara.Pentadbiran Felda Jengka 23 pula meminta permit daripada PAS cawangan yang mengadakan ceramah dalam musim pilihanraya.Pengurus Felda cuba berlagak sebagai polis bertanya tentang permit.
Di Jengka 17 juga ,Pengurusnya mengarahkan Ketua PAS Cawangan menyerahkan laporan semasa dari pondok panas PAS berkenaan kedudukan pengundi yang keluar mengundi.Pengurus turut mengugut untuk memecat pekerja ladang Felda yang menyokong PAS.
Di Jengka 15,Pengurusnya cuba menghalang ahli PAS memasang bendera di atas tanahnya sendiri.Lebih memualkan ,Pengurus terang-terangan menyalahgunakan kuasanya membenarkan pimpinan pemuda Umno menggunakan Dewan Orang Ramai untuk melancarkan jentera pilihanraya pemuda Umno.
Tanpa segan silu pengurus berkenaan menghalang anak peneroka yang tidak menyokong BN dari masuk ke Dewan Orang Ramai untuk mendengar ucapan Dato Hishamudin Husin Onn,Ketua Pemuda Umno Malaysia.
Ibu pejabat Felda juga dikatakan mengarahkan pejabat-pejabat Felda beroperasi 24 jam,macam Bilik Gerakan Umno! sepanjang kempen pilihanraya.Ternyata juga pentadbiran Felda lah yang memainkan peranan utama memenangkan calon BN di Jengka,Jenderak,Cini dan lain-lain kawasan Felda.
Soalnya adakah Felda telah menjadi satu parti politik baru komponen Barisan nasional?Atau adakah pentadbiran Felda perlu diajar seperti yang dibuat oleh peneroka Felda Kemahang 3?

Friday, March 14, 2008

Generasi Ke2 Felda Jengka Tolak Wan Salman


Walaupun menang dengan majoriti 596 menewaskan calon PAS Dato Tuan Ibrahim Tuan Man,YB baru Jengka Wan Salman tentu rasa tak selesa kerana anak muda menolak beliau dalam pilihanraya 8 Mac lalu.Lebih tidak menggembirakan apabila beliau tewas di peti undi Jengka 15 ,cawangan beliau sendiri.Di situlah dia dibesarkan oleh keluarganya.


Keputusan keseluruhan saluran 3 dan 4 menyaksikan Ketua Pemuda Umno Bahagian itu kalah dengan majoriti lebih 500 undi.Tetapi beliau diselamatkan oleh pengundi saluran 1 dan 2 khususnya di Jengka 21 yang tebal dengan pegangan Umnonya.Sehingga ke pagi ini,belum nampak lagi kelibat puak puak Umno mengadakan kenduri kesyukuran di atas kemenangan calon mereka.Mungkin juga mereka masih merasa tidak puas hati dengan merosotnya undi yang dperolehi dalam PRU 12 yang lalu.


Apa yang jelas,PAS Jengka terus bangkit dan bersedia untuk pilihanraya akan datang yang dijangka akan berlaku kurang dari tempoh 3 tahun kerana kedudukan tidak stabil kerajaan BN yang gagal mendapat 2/3 majoriti.

Seawal 9 Mac,PAS jengka telah menghimpunkan petugas-petugasnya untuk terus diberi semangat bagi menawan Jengka pada PRU akan datang.Kegagalan PAS bukan kerana rakyat Jenglka menolak Dato Tuan,tetapi kerana peneroka tidak mampu menahan ujian RM 5000 wang ses getah yang diterima beberapa hari sebelum mengundi.Wang 5000 terlalu besar bagi peneroka.Kesusahan,keletihan sekian lama terubat dengan pembayaran wang ses oleh Felda sehingga keletihan itu hilang sekelip mata,tak jauh beza dengan budak ketagih ganja yang tak sedar apa yang berlaku.Dengan keseronokan yang jarang ditemui,peneroka terlupa itulah wang mereka yang disimpan Felda sekian lama,yang telah mengayakan Felda.


PAS juga bukan sahaja berhadapan dengan Umno dalam pilihanraya yang lalu,tetapi berhadapan dengan komponen BN terbaru iaitulah Parti FELDA Bersatu yang berjaya menjadi pelakon terbaik dalam PRU 12 sehingga sanggup membuka pejabat Felda 24 jam macam bilik gerakan BN.


Namun tahniah kepada pengundi muda kerana menolak parti rasuah.