Wednesday, January 26, 2011

Surat Cabaran Debat Isu Felda Kali Ke2

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK)

B 13, Felda Bukit Ramun

81040 Kulai

Johor Darul Takzim 25 Januari 2011



Kepada:

Datuk Hj.Ahmad B. Hj.Maslan

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri



Datuk,

Perkara: Cabaran Debat Isu FELDA Kali Ke-2

Dalam kempen Pilihanraya Kecil (PRK) N05 DUN Tenang, adalah diperhatikan bahawa Datuk telah banyak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak mengambarkan suasana dan situasi sebenar terhadap ketiga-tiga felda yang berada di dalam DUN Tenang iaitu Felda Chemplak, Chemplak Barat dan Tenang.

Bukan itu sahaja. Ketika kedatangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 18Januari yang lalu, beliau telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM1.6b untuk pembangunan FELDA, memberikan 500 lot tanah untuk generasi kedua dan menyatakan pendapatan bersih peneroka sekarang ialah sebanyak RM3000 sebulan lebih banyak menimbulkan tanda tanya akan kesahihannya.

Oleh yang demikian, saya selaku Presiden ANAK mengulangi cabaran debat kepada Datuk pada 28 Januari 2011 (Jumaat) ini dimana-mana tempat di dalam DUN Tenang ini. Tarikh ini dipilih kerana berdekatan dengan tarikh mengundi bagi PRK N05 DUN Tenang supaya pengundi yang terdiri peneroka dan generasi kedua dapat menilai kejujuran kedua-dua belah pihak dalam memuktamadkan isu warga felda dan bukannya hanya gimik politik pilihanraya semata-mata.

Sekiranya dalam tempoh 2 hari dari tarikh serahan surat ini iaitu pada 27 Januari 2011 (Khamis) masih tiada jawapan dari pihak Datuk, maka pihak kami akan menyediakan tempat berlangsungnya debat terbuka pada tarikh yang dijanjikan.

Cabaran debat ini bermaksud bertujuan menyahut cabaran kononnya ANAK menjadi penghasut,pembawa fitnah, pemecah belah terhadap warga felda. Bahkan ada tuduhan mengatakan yang ANAK yang sebenarnya takut untuk berdepan dengan pihak kerajaan berkaitan isu ini.

Debat ini juga bukanlah bermaksud untuk mengejar populariti atau ada mempunyai agenda peribadi namun sebaliknya, akan mendedahkan fakta sebenar nasib yang sedang dialami oleh warga felda dan pengabaian terhadap mereka selama ini.

Kerjasama dari pihak Datuk amat kami hargai dan didahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih.



Yang Benar

Sdr.Mazlan Aliman

Presiden ANAK

Wednesday, January 19, 2011

Tahniah ANAK:Najib Akur Tuntutan Gen2


Parti Islam Se-Malaysia PAS mengucap tahniah kepada perjuangan Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang dipimpin oleh Saudara Mazlan Aliman Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang telah berjaya menampakkan hasil, sehingga memaksa Datuk Najib Tun Razak selaku orang yang menjaga urusan FELDA meluluskan peruntukan sebanyak RM8.5 juta untuk 500 lot bagi generasi kedua Felda Johor.

PAS memanjat syukur kepada Allah kerana tuntutan untuk rakyat sudah di ambil berat oleh Datuk Seri Najib. Walaupun beliau mengumumkan sempena lawatan beliau ke Felda Chempelak dalam DUN Tenang. Apa yang pentingnya kerajaan sudah mula mengambil perhatian atas usaha gigih perjuangan ANAK selama ini.

Keputusan kerajaan mengambil berat masalah peneroka Felda kesan daripada kesedaran peneroka bahawa hak mereka selama ini dinafikan oleh kerajaan BN. Semuanya hasil perjuangan melalui wadah ANAK. PAS yakin keputusan ini dibuat terutama sambutan di kalangan masyarakat Felda amat menggalakkan, ditambah dengan janji 100 hari Pakatan Rakyat yang akan menghapuskan Felda Plantation yang dianggap tidak adil kepada rakyat.

PAS yakin stok penimbal Umno di Felda semakin reput, sebab itu tindakan Datuk Najib meluluskan projek di Tenang. Mungkin inilah risikan yang telah sampai kepada beliau, jika tidak generasi kedua akan beralih sokongan. PAS mengharapkan Datuk Seri Najib perlu juga mengumumkan peruntukan kepada generasi kedua selain daripada negeri Johor, kerana di seluruh negara terdapat 317 rancangan dengan bilangan 900,000 peneroka. Tidak adillah jika peneroka Johor sahaja yang dapat, kebetulan ada pilihnaraya kecil Tenang, bagaimana pula nasib peneroka yang tidak ada pilihanraya kecil.

Walau bagaimana pun PAS yakin peneroka sudah celik maklumat, terutama generasi muda Felda. Selama setengah abad hak mereka dinafikan oleh kerajaan BN. Sekarang baru kerajaan sedar untuk cakna kepada peneroka kerana BN tidak lagi boleh berada di zon selesa hasil daripada perjuangan ANAK di bawah kendalian PAS.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Friday, January 7, 2011

Al Kisah Mat Isa Samad Jadi 'Raja Felda'


dari blog://ibnu-ismail.blogspot.com/

Semua orang kenal Mat Isa. Antara MB paling lama berkuasa; sebanding dgn tempoh kekuasaan Dr Mahathir sebagai PM.

Mula jadi MB tika stesen bas Seremban masih dengan menara jam pendeknya, hinggalah terbinanya Terminal Satu yang dirasmikan TPM masa tu (Anwar) dan dilanjutkan lagi kuasanya sampai datang Mat Hasan (1982-2004).

22 tahun memerintah, Seremban pesat membangun. Tapi apa jasanya pada orang Felda. Memang dulu orang Felda di N9 kuat menyokong Mat Isa. Mereka dibiarkan hidup susah. Dekat-dekat pilihanraya, Mat Isa dan konconya mula menyengeh usung guni beras bagi bantuan kepada para peneroka. Apa orang Felda kata masa tu? "Ekau tengok pemimpin kito tu jang. Sanggup dio ghodah belantaro nak bagi sumbangan kek kito..."

Tanpa disedari orang Felda, dalam diam Mat Isa atur rancangan untuk jual tanah orang Felda. Sebagai umpan, LBJ dikorbankan. Orang Felda LBJ dianugerahkan -+RM1juta dengan menjual tanah ladang mereka.

Terpedaya dengan apa yang orang LBJ dapat, orang Sendayan pula menerima tawaran PKNNS untuk jual tanah ladang sawit mereka kepada Malaysian Helicopter. Tapi ada juga sekitar 50 orang peneroka yang agak cerdik enggan bersetuju dengan tawaran Mat Isa tu. Malangnya Mat Isa rampas tanah mereka dengan menggunakan Akta GSA.

Saya masih ingat sekitar tahun 1999, beberapa orang pemimpin Umno Felda Sendayan datang ke rumah saya di Seremban mengadu hal mereka ditipu. Saya tanya, "Tipu macam mana?"

Mereka jawab, "Geran tanah kami mereka dah ambil. Mat Isa janji nak bayar berperingkat. Mula-mula sign aggrement, bayar 10% (RM100k-130k). Bayaran kedua selepas 3 bulan dan begitulah seterusnya hingga genap 2 tahun, langsai semua bayaran (antara 1 hingga 1.3 juta)."

"Tapi lepas kami sign 2 tahun lalu, tak ada apa yang kami dapat melainkan bayaran pertama sahaja. Bayaran berikutnya langsung tak dibayar. Geran kami dia dah ambil. Ada ke patut ustaz?"

Saya geleng kepala dan jawab (dalam hati), "Memang tak patutpun. Tapi lebih tak patut lagi yang korang percaya kepada penyamun dan penyangak tu apasal?"

Saya menerima jemputan pemimpin2 umno itu ke Felda Sendayan. Sungguh menyayat hati lihat rumah mereka. Ada yang rumah dah tinggal macam reban ayam. Masa dapat 100k dulu, mereka roboh rumah dengan hajat nak buat lebih besar, sebab masih ada lagi bayaran yang bakal diterima sekitar 900k. Malangnya rumah roboh, duit tak dapat.

Mat Isa pernah pergi ke Sendayan untuk berbincang, namun para peneroka yang marah telah menghalaunya macam anjing kurap. Mereka kemudian panggil Al Marhum Christopher Fernando untuk saman Mat Isa dan PKNNS. Saya hadir dalam pertemuan berkenaan. Sayangnya belum sempat kes itu dibicarakan, Fernando kembali ke rahmatullah (UP: Fernando adalah seorang Muslim).

Mat Isa juga dikatakan terlibat menggadai tanah di N9 kepada warga Singapura.

Ada yang pula yang kata Isa ni bagus, sepanjang memerintah dia telah luluskan banyak tanah kepada Majlis Agama. Tapi tak ramai yang perasan, pengerusi Majlis Agama N9 masa tu ialah MB. Bila dia luluskan tanah kepada MAINS, dia bagi projek membersihkan tanah-tanah tu kepada suku sakat dia. Sambil-sambil bersih tanah, khazanahnya disapu bersih. Berapa komisyen untuk dia sendiri wallahu a'lam lah.

Bayangkan berapa banyak tanah yang menjadi kawasan hutan tadahan hujan, menjadi padang jarak padang terkukur. Hasilnya, N9 terpaksa berhadapan dengan krisis air. Catuan dikerapkan untuk menjimatkan bekalan air.

Setelah banyak kerosakan dilakukan, Mat Isa cuba memanjat glamournya. Dalam PRU 2004 dia melepaskan kerusi Dunnya dan bertanding di kawasan Parlimen Jempul dengan harapan akan dapat kedudukan di pusat. Keputusan bertanding di Jempul menyebabkan ramai ahli umno marah kerana ia ibarat merampas kerusi Khalid Yunus yang sudah sinonim dengan Jempul sejak sekian lama. Beliau sanggup memijak kepala dan membunuh karier politik Khalid semata-mata untuk memenuhi nafsunya ke pusat.

Dah lama dia mengidam sesuatu di pusat. Bahkan Isa beberapa kali bertanding jawatan Ketua Pemuda umNO. Tapi undi yang diperolehnya jauh ketinggalan berbanding Rahim TC dan Zahid Hamidi.

Tapi strateginya kali ni menjadi apabila ditawarkan mengetuai Kementerian Wilayah Persekutuan yang baru diwujudkan oleh Pak Lah pada Mac 2004.

Dia berada di puncak glamour apabila menang jawatan Naib Presiden parti (2004) dengan mendapat undi terbanyak. Namun tak lama. Pada tahun 2005 Isa 'ditelanjangkan' oleh partinya sendiri dengan dakwaan politik wang. Dengan kata lain, Mat Isa dikatakan memenangi jawatan Naik Presiden dengan cara merasuah para perwakilan supaya mengundinya.

Dia digantung agak lama. Senyap sunyi suaranya. Hinggalah apabila YB Azman, Adun Bagan Pinang meninggal, maka Mat Isa kembali berkokok. Pengikut fanatiknya mengugut pemimpin umno supaya mencalonkan Isa dalam PRK kawasan itu. Isa menang. Menang setelah mempamerkan perlawanan paling kotor dan ganas berbanding beberapa siri PRK sebelumnya.

Penduduk Port Dickson menyaksikan bagaimana pengikut-pengikut fanatiknya yang bersenjatakan kayu menyerang bilik gerakan dan tapak ceramah parti lawan serta memukul petugas di situ hingga cedera parah. Bukan sekali dua, bahkan beberapa kali dan di beberapa tempat.

Kini Mat Isa yang sejarah kepimpinannya penuh dengan keburukan, dipalit dengan najis rasuah dan politik wang, diberi pula tugas sebagai Pengerusi Felda menggantikan Ustaz Yusuf Nor. Justeru, adakah anda yakin Mat Isa boleh menguruskan Felda dengan baik?

Mampukah imej buruk pengurusan Felda selama ini dipulihkan oleh Mat Isa? Menobatkan Isa ke takhta pengurusan Felda bagai menyerahkan reban kepada musang. Bagai melantik kucing menjaga ikan... Dan bagaikan mencantumkan dua kejahatan. Menemukan perompak dengan gudang 40 penyamun.