Monday, November 28, 2011

Adun BN Didakwa Campurtangan Pengagihan Rumah Asnaf

Temerloh:Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia didesak bertindak segera menyiasat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri mewakili Umno-BN di negeri ini yang didakwa campurtangan dalam pengagihan Rumah Asnaf Bukit Kenau dalam Parlimen Pekan yang diuruskan pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang(MUIP)

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang ,Shahril Azman Abdul Halim pihaknya menerima maklumat salah seorang ahli keluarga ADUN berkenaan telah dipilih sebagai penghuni rumah berkenaan tanpa melalui prosedur sepatutnya hasil campurtangan Adun berkenaan.

Rumah Asnaf Bukit Kenau yang dibina dari Dana Zakat Affin Bank yang diuruskan pihak MUIP adalah bertujuan membantu asnaf zakat yang tidak mampu memiliki rumah untuk didiami.

Tambah Shahril lagi,pihaknya meragui apakah salah seorang ahli keluarga ADUN berkenaan benar benar layak untuk dipilih sebagai penghuni Rumah Asnaf tersebut.

Dewan Pemuda PAS Pahang juga mendesak pihak MUIP agar bertindak ke atas seorang pegawai kanannya yang sedang disiasat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) jika terbukti beliau terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dalam proses pemilihan penghuni rumah berkenaan.

Tindakan tersebut diharap dapat menjaga kredibiliti MUIP selaku sebuah institusi yang bertanggungjawab ke atas umat Islam di negeri ini.

Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang menaruh harapan yang besar kepada MUIP agar dapat menguruskan harta zakat rakyat Pahang tanpa sebarang campurtangan mana mana kuasa politik.