Wednesday, March 19, 2008

TAHNIAH PENEROKA KEMAHANG 3

Permohonan Felda tangguh bayar ganti rugi RM7.8j ditolak-Utusan Malaysia 19 Mac 2008

KOTA BHARU 18 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Felda bagi menangguhkan pelaksanaan penghakiman mahkamah berkenaan yang mengarahkannya membayar ganti rugi RM7.8 juta kepada 354 peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah kerana menipu urus niaga penjualan hasil kelapa sawit.

Hakim Datuk Mohd. Azman Husin membuat keputusan itu di kamar beliau hari ini.
Peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili peneroka terbabit sebagai plaintif ketika ditemui selepas prosiding itu di luar mahkamah memberitahu bahawa mahkamah menolak permohonan Felda itu tanpa sebarang kos.

“Ini bermakna Felda tetap kena bayar ganti rugi yang ditetapkan sebelum ini oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 13 Januari lalu sebanyak RM7.8 juta berserta faedah lapan peratus iaitu sebanyak RM1,711 sehari.

‘‘Ia bermula pada 24 September 2002 sehingga hari ini yang kesemuanya sudah berjumlah hampir RM12 juta,” katanya kepada pemberita di perkarangan mahkamah di sini.
Bagaimanapun, tambah Wan Rohimi, mahkamah telah menggunakan budi bicara dengan mengeluarkan perintah lanjutan kepada Felda untuk mendepositkan wang tersebut ke dalam akaun bersama antara pihak peguam peneroka dan peguam Felda.

Beliau berkata, bayaran ganti rugi bersama dengan faedah itu akan kekal dalam akaun bersama tersebut sehingga rayuan kes itu oleh Felda selesai di Mahkamah Rayuan, Putrajaya kelak.
Pada prosiding itu di kamar hakim, Felda yang dinamakan sebagai defendan dalam kes itu diwakili dua peguam, Teo Poh Oom dan Tengku Alina Alias.

Tuntutan saman itu difailkan oleh kesemua peneroka tersebut pada 22 September 2002 dengan menamakan Felda sebagai defendan pertama, Pengurus Rancangan Felda Kemahang 3, Tanah Merah, Ibrahim Ismail (defendan kedua) dan Felda Palm Industries Sdn. Bhd. (defendan ketiga).

Mereka antara lain mendakwa berlaku penipuan dalam urusan jual beli hasil atau buah sawit yang dijual oleh defendan kedua atau defendan pertama kepada defendan ketiga bagi pihak plaintif.

Keadaan itu disedari apabila seorang daripada plaintif telah menemui salinan asal 'Akuan Penerimaan BTS (berat timbang sawit) yang dikeluarkan oleh defendan ketiga yang mengandungi cop penjual mengakui hantaran mutu BTS di bawah KPG (Kadar Perahan Gred) 18 peratus.

Mengikut salinan asal surat akuan itu, 'penjualan BTS itu di atas dasar kehendak penjual dan penjual bersetuju KPG yang dibayar'.

No comments: