Wednesday, September 29, 2010

Pemuda PAS Desak Felda Akur Keputusan Terbaru Mahkamah,Menangkan Peneroka


Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini yang telah memenangkan sepuluh orang peneroka Felda Sungai Koyan dalam samannya ke atas Felda yang enggan menyerahkan wang tanam semula berjumlah RM 1700 setiap ekar.

Demikian dinyatakan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang Ustaz Shahril Azman Abd Halim sebentar tadi.

Beliau turut menyeru agar pihak pentadbiran Felda akur dengan keputusan mahkamah tersebut dan mengakui kesilapan mereka selama ini dalam mengurus harta dan hak yang patut dberi kepada peneroka.

Ustaz Shahril turut membidas tindakan Felda sebelum ini yang tidak mahu mengakui kelemahan mereka dengan mencanangkan kepada peneroka kononnya mereka tewas dalam saman oleh peneroka Felda Kemahang 3 adalah kerana peguam Felda tidak hadir mahkamah ketika perbicaraan.

Kenyataan yang dianggap menghina mahkamah itu lebih menggambarkan sikap angkuh Felda yang tidak mahu menoleh kebelakang untuk bermuhasabah atas kelemahan yang berlaku.

Dewan Pemuda PAS Pahang sangat berharap kenyataan angkuh seumpama itu tidak lagi berulang selepas keputusan terbaru Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini yang sekali lagi memihak kepada peneroka Felda.

Peneroka Felda yang memperjuangkan hak mereka bertahun tahun lamanya untuk mendapatkan caruman tanam semula yang dinafikan pentadbiran Felda menempa sejarah hari ini dengan keputusan yang telah dibuat Mahkamah Tinggi Kuantan

Hakim Datuk Mariana Yahya hari ini memutuskan peneroka berhak mendapatkan wang tanam semula berjumlah RM 1700 setiap ekar walaupun mereka mengusahakan sendiri ladang mereka dan tidak menyerahkan kembali kepada Felda.

Hakim Datuk Mariana Yahya juga menolak hujjah pembelaan Felda yang menyatakan peneroka tidak berhak mendapatkan jumlah itu kerana jumlah caruman mereka tidak sampai.

Namun, hakim memutuskan Felda perlu membayar jumlah itu kerana ia telah ditetapkan oleh Felda sendiri.

Saudara Hanifa Maidin yang juga Ahlijawatankuasa PAS Pusat bertindak sebagai peguam peneroka berkenaan manakala Felda diwakili Tetuan Abdullah Zainudian yang diwakili oleh Puan Doshi.

No comments: