Wednesday, April 25, 2012

HALATUJU FELDA SELEPAS PENYENARAIAN FGVH DI BURSA SAHAM


PENGENALAN LAND (GROUP SETTLEMENT AREAS) ACT, 1960 DAN MISI AWAL FELDA SEPERTI YANG DIGAGASKAN OLEH TUN RAZAK
Mukaddimah:-
Tanggal 27/4/1960, Almarhum Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, telah membentang satu pelan Rancangan Kemajuan Tanah melalui pengenalan Akta GSA, dengan satu matlamat iaitu untuk memperbaiki keadaan hidup dan sosio ekonomi rakyat jelata di luar bandar. Akta GSA dibentangkan dan digubal untuk memberikan panduan dan keseragaman kepada semua negeri-negeri di Tanah Melayu bagi mencapai hasrat Kerajaan untuk membangunkan taraf kehidupan penduduk luar bandar.
Tun Razak memulakan ucapan pembentangannya dengan kata-kata berikut:-

Kerajaan Persekutuan pada ketika itu menyedari bahawa tanah adalah merupakan aset yang berada dalam bidangkuasa Kerajaan Negeri, di mana tujuan asas kepada penggubalan Akta GSA adalah untuk memberikan panduan kepada Kerajaan Negeri  mengawal selia pemberian tanah kepada rakyat luar bandar:-

Menginsafi kemiskinan rakyat luar bandar, Tun Razak menegaskan bahawa pemberian tanah di kawasan GSA  adalah untuk membolehkan rakyat luar bandar mencari nafkah yang sempurna:-

Tun Razak meneruskan ucapan dengan memberikan penekanan bahawa Akta GSA adalah bertujuan untuk memberikan tanah kepada rakyat yang tidak bertanah (giving land to the landless), serta menambah pemilikan tanah yang tidak mencukupi kepada penduduk luar bandar untuk membolehkan pencarian nafkah yang sempurna:-

Selaras dengan pelan untuk memajukan kehidupan rakyat, Tun Razak memohon bantuan dan ihsan Kerajaan Negeri   untuk membuka tanah baru melalui 3 kaedah berikut:-
PERUNTUKAN UMUM DI BAWAH AKTA GSA
Di bawah Akta GSA, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk mewartakan dua kawasan penempatan iaitu:-
Kawasan Petempatan Luar Bandar – Rural Settlement Areas (S. 5);
Kawasan Petempatan Bandar – Urban Settlement Areas (S. 6).
Pada hampir keseluruhan Akta GSA, pemilikan tanah akan diberikan secara individu yang tidak melibihi 10 ekar setiap seorang. Dalam sesetengah keadaan, pemilikan bersama yang tidak melebihi 2 individu bagi satu tanah dibenarkan.
Selain pemilikan individu, terdapat sebahagian kecil pemilikan dibenarkan secara pemilikan saham Koperasi. S. 35 GSA memberikan pengecualian kepada pemilikan secara saham koperasi bagi rancangan-rancangan yang dikendalikan oleh Felda. Namun, pemilikan secara saham koperasi juga tertakluk kepada Akta GSA, yang mana semua kuasa berkenaan tanah adalah terletak pada Pentadbir Tanah – Kerajaan Negeri.
Dalam konteks peneroka Felda, pemilikan tanah bagi untuk peneroka hanya melibatkan Rural Holdings sahaja.

Adalah diperhatikan bahawa keseluruhan peruntukan Akta GSA adalah HANYA berkait dengan proses pemilikan tanah dalam jangkaan untuk mendapatkan geran (occupation in expectation of title). Ia tidak meliputi tanah-tanah yang sudah diberikan Geran kepada peneroka, melainkan syarat-syarat, halangan dan sekatan yang dikenakan ke atas Geran Tanah selaras dengan S. 47 GSA – oleh Kerajaan Negeri.

GSA adalah merupakan satu instrumen undang-undang untuk memberikan kuasa kepada Kerajaan Negeri bagi mewartakan satu Rancangan Berkelompok, dan mencari peserta yang dipanggil 'peneroka' untuk membangunkan tanah-tanah dalam Rancangan Berkelompok tersebut.

Pada tujuan pengurusan Rancangan Berkelompok, Kerajaan Negeri berkuasa melantik mana-mana agensi, ATAU - tidak perlu melantik mana-mana agensi - untuk diuruskan sendiri oleh peneroka. Justeru ia adalah hak mutlak Kerajaan Negeri untuk memilih mana-mana agensi atau syarikat bagi menguruskan sesuatu Rancangan Berkelompok.

SEMUA kuasa ke atas tanah-tanah rancangan adalah terletak kepada “Collector” atau Pentadbir Tanah – yang berada di bawah bidangkuasa Kerajaan Negeri. Tiada satu pun peruntukan mutlak tentang apa-apa kuasa ke atas tanah peneroka diberikan kepada Felda atau mana-mana agensi lain.

S. 38 GSA (berkenaan dengan kawasan yang diuruskan oleh Felda) memperuntukkan bahawa semua kuasa pada Bahagian I – VI GSA adalah terpakai seolah-olah kawasan tersebut masih merupakan tanah Kerajaan Negeri (State Land).


KUASA-KUASA KERAJAAN NEGERI BERHUBUNG DENGAN RANCANGAN FELDA


Menggubal Dasar/Polisi/Undang-Undang Kecil
Untuk Mengawal Selia Ladang dan Peneroka
Di bawah S. 37, Felda hanya boleh membuat apa-apa peraturan/polisi/undang-undang kecil di setiap Rancangan setelah “after the consultation with the State Authority” (selepas mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Negeri).
Di bawah seksyen ini, setiap undang-undang kecil yang digubal oleh Felda, hendaklah dirujuk terlebih dahulu untuk kelulusan daripada Kerajaan Negeri.
Adalah diperhatikan bahawa semua polisi/peraturan/undang-undang untuk mengikat peneroka dan ladang peneroka digubal tanpa langsung dirujuk dan tanpa mempedulikan kuasa Kerajaan Negeri.

Dan semua Kerajaan Negeri pada ketika ini kelihatan tidak sedar akan kuasa melalui S. 37 untuk melindungi peneroka. Banyak Kerajaan Negeri seperti melepaskan tangan dan menganggap seolah-olah Felda mempunyai kuasa mutlak ke atas setiap Rancangan.

RANCANGAN YANG TIDAK MEMILIKI PENEROKA
Seperti yang telah dijelaskan, di bawah Akta GSA, hanya terdapat 2 jenis pemilikan ke atas tanah, iaitu pemilikan individu peneroka (S. 7(2) dan 11(1)) dan melalui Koperasi yang diuruskan oleh Felda (S. 35).
Tiada apa-apa pemilikan yang lain dibenarkan oleh Akta GSA.

Tugas Felda di bawah GSA, bagi sebahagian Tanah yang mana Felda dilantik untuk menguruskannya, hanya untuk menjadi Pengurus kepada Rancangan, dan bukannya memiliki tanah atau “in occupation of the group settlement areas” (menduduki kawasan rancangan berkelompok).

Namun adalah diperhatikan bahawa Felda telah menyalahgunakan pemberian tanah oleh Kerajaan Negeri untuk mewujudkan Kawasan Rancangan Berkelompok untuk mencari peserta/peneroka dan mencadangkan, atau secara saham Koperasi, tetapi SEBALIKNYA Felda telah 'merompak' tanah Kerajaan Negeri (yang diwartakan sebagai Rancangan Berkelompok) untuk diusahakannya sendiri dengan menubuhkan Felda Plantation Sdn. Bhd.

Berdasarkan website Felda Plantation Sdn. Bhd., Felda Plantation  kini memiliki ladang seluas 380,180 hektar (bersamaan dengan 840,244.6 ekar) di seluruh negara. Tanah ini diberikan oleh Kerajaan Negeri yang berkenaan di bawah Akta GSA untuk membolehkan pemilikan individu peneroka dalam Rancangan Berkelompok, pada asalnya.

Sekiranya ladang Felda Plantation tersebut diberikan kepada individu peneroka sebanyak 10 ekar seorang sebagaimana S. 11(1) GSA, maka seramai 84,024 orang peneroka baru akan mendapat manfaat. Namun tanah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri ini telah disalahgunakan oleh Felda dengan menubuhkan Felda Plantation, dan mengaut keuntungan berbillion ringgit tanpa apa-apa faedah tambahan kepada mana-mana Kerajaan Negeri selain dividen kepada peneroka. Tindakan ini bukan sahaja menghalang pertambahan peneroka baru, bahkan Kerajaan Negeri pun tidak mendapat apa-apa manfaat langsung dari kekayaan Felda melalui Felda Plantation.

FOKUS SPESIFIK: FELDA PLANTATION SDN BHD.
Sejak Tahun 1991, Kerajaan Persekutuan telah mengarahkan FELDA menghentikan pengambilan peneroka baru. Ini kerana FELDA ingin mengaut keuntungan yang lebih dengan menyalahguna tanah yang diwartakan sebagai kawasan GSA (yang sepatutnya diberikan kepada peneroka) dengan menubuhkan satu entiti korporat yang bernama FELDA PLANTATION SDN BHD.
FELDA PLANTATION SDN BHD telah diperbadankan pada 13/1/1992. Entiti ini selepas penubuhan telah mengambil alih semua ladang/tanah yang masih belum diisi peneroka.
Felda Plantation ditubuhkan dengan Authorised Capital sebanyak RM45 juta sahaja.
Felda Plantation hanya memilik 2 pemegang saham sahaja iaitu Felda Holdings Sdn Bhd (RM15.3 juta– share) dan FELDA (RM14.7juta – share). Modal berbayar Felda Plantation hanya RM30 juta sahaja.
Koperasi Permodalan Felda (KPF) tidak memiliki apa-apa saham ke atas Felda Plantation.
KPF hanya memiliki saham dalam Felda Holding sebanyak lebih kurang 51%.
PERSOALANNYA: Adakah Plantation boleh menjadi Frontline untuk memiliki/mengurus tadbir tanah GSA – Coopertive Group Settlement Area?
35.  Development of group settlement areas by co-operative societies organised by the Development Authority.
(1) The Development Authority may permit any land vested in it under section 34, cultivated or to be cultivated collectively, to be developed or managed by such co-operative society as it may organise; and the Chairman of the Development Authority may direct that any such area (hereinafter referred to as "a co-operative group settlement area") shall be surveyed as one whole or in as many lots as may be convenient for cultivation.
(2) As respects a co-operative group settlement area, no person other than a member of the co-operative society concerned shall be registered as a holder in the register of holdings; and the Manager appointed under section 36 shall make no record of any specific lot number or of a survey lot but shall record only the share held in such society by the member registered in such register as the holder.
Berdasarkan S. 35(2) tersebut, pemilikan tanah GSA di bawah S. 35 hanya boleh diberimilik (alienate) kepada Koperasi atau ahli-ahli Koperasi sahaja.

Oleh itu, pada hemat saya, pemilikan ladang oleh Felda Plantation adalah bercanggah dengan Akta GSA, dan tidak menepati hasrat pewartaan Rancangan Berkelompok oleh Kerajaan Negeri di bawah S. 4 GSA

HALATUJU PENEROKA SELEPAS LISTING

TANAH INDIVIDU PENEROKA
Pada masakini terdapat sejumlah 112,635 orang peneroka.
Dari jumlah itu, HANYA 32% peneroka yang telah diberikan Geran Hakmilik, iaitu bersamaan dengan 35,977 orang peneroka.
MANAKALA sejumlah 68% masih belum diberikan Geran Hakmilik yang bersamaan dengan 76,658 peneroka.
ISUNYA: Apakah status tanah yang masih belum diberimilik? Berdasarkan kepada kenyataan  Felda dan Menteri dari masa ke semasa, kelihatan mereka menganggap tanah peneroka yang belum diberimilik tersebut adalah milik @ aset Felda.
JUSTERU, apabila penyenaraian berlaku, tanah ini akan bersama-sama dipajak kepada Felda Global Ventures Sdn Bhd, dan peneroka selama-lamanya TIDAK AKAN diberi Geran Hakmilik kepada tanah-tanah yang mereka telah usahakan sejak 30/40 tahun terdahulu.

TANAH FELDA PLANTATION
Felda menganggap tanah Plantation adalah milik mereka. Inilah aset utama yang cuba dijual oleh Felda melalui pajakan kepada Felda Global Ventures.
Selepas penyenaraian, tanah seluas 840,244.6 ekar yang diurus oleh Plantation Plantation tersebut akan dilupuskan kepada Felda Global Ventures.
Oleh itu, peneroka dan KPF tidak lagi akan mendapatkan hasil secara langsung ke atas perniagaan Felda Plantation melalui 840,244.6 ekar tanah tersebut, sebaliknya KPF akan hanya bergantung kepada 20% (atau apa-apa percent jumlah saham) Felda Global Ventures.
Hakikat ini tentunya akan memansuhkan sebahagian besar dana yang menyumbangkan kepada pendapatan KPF.
DISEBALIK ITU, pemindahan aset KPF dalam Felda Plantation kepada Felda Global Venture tersebut akan melupuskan kepentingan pemilikan tanah GSA di bawah S. 35 GSA.
Ia bukan sahaja bercanggah dengan semangat penubuhan rancangan Felda, tetapi jugak telah membatalkan pemilikan GSA tanah secara koperasi di bawah S. 35 GSA.
Saya tidak berhajat membahaskan teknikal undang-undang berkenaan isu ini secara lebih panjang lebar di kesempetan ini pada hari ini

DURIAN RUNTUH
Perdana Menteri menjanjikan durian runtuh peneroka selepas penyenaraian.
Hakikatnya, peneroka-peneroka yang merupakan ahli-ahli dan pemegang saham KPF akan mendapat imbuhan/wang segera (one off payment) kerana semua aset KPF dalam anak-anak syarikat Felda dilupuskan/dicairkan kepada Felda Global Ventures.
Buat masa ini KPF memegang saham majoriti dalam 3 entiti Felda yang paling untung:-
i.          FELDA HOLDINGS BERHAD      =          51%
ii.         Felda Plantation – pemilikan melalui saham Felda Holdings
iii. Felda Palm Industries Sdn Bhd (Kilang Sawit) = 30% direct shares dan melalui saham Felda Holdings
Apabila penyenaraian berlaku, semua saham-saham yang menjana keuntungan besar kepada KPF saban tahun terutama dalam 3 entiti perniagaan tersebut, akan dicairkan dan dijual kepada pasaran melalui apungan saham Felda Global Ventures.
Selepas mendapatkan wang kononnya “Durian Runtuh” tersebut, maka berakhirlah zaman gemilang KPF, kerana tiada lagi aset-aset yang boleh menyumbang kepada pendapatannya.
Bolehlah kita gelarkan durian runtuh menamatkan zaman gemilang peneroka. Satu tendangan separuh maut.
APA YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH KERAJAAN NEGERI
Kerajaan Negeri (Pakatan Rakyat) boleh berusaha untuk menyelamatkan nasib peneroka dengan cara-cara berikut:-
GERAN HAKMILIK INDIVIDU
Segera mengeluarkan Geran Hakmilik Individu (bagi peneroka-peneroka yang telah lama menyelesaikan bayaran premium atau lain-lain bayaran kepada Pejabat Tanah);
Kerajaan Negeri tidak perlu menunggu rekomendasi Felda untuk mengeluarkan Geran Individu;
Kerajaan Negeri tidak perlu mempedulikan Hutang Bayaran Kembali (“Hutang BK”) antara peneroka dan Felda kerana hubungan tersebut adalah hubungan kontrak yang tiada kaitan dengan kerajaan negeri.
Pemberian Hakmilik boleh diberikan walaupun peneroka masih mempunyai hutang Bayaran Kembali dengan Felda. Urusan hutang peneroka, hanya melibatkan peneroka dengan Felda. Urusan pemberian Hakmilik adalah hubungan peneroka dengan Kerajaan Negeri – Pejabat Tanah – Pentadbir Tanah. Ia adalah dua hubungan yang berbeza dan berasingan.

KESAN kepada pemberian Hakmilik kepada peneroka, adalah membebaskan peneroka dari belenggu-belenggu berikut:-

Menghapuskan ruang ugutan Felda terhadap peneroka terutama berkenaan urusan Tanam Semula dan serah ladang;
Menghapuskan ruang ugutan berkenaan dengan pengusiran peneroka dari Kawasan Rancangan;
Pengaplikasian peruntukan Akta GSA hanya tertakluk kepada peneroka yang masih belum mendapatkan Hakmilik sahaja. Peneroka yang sudah mendapat Hakmilik adalah bebas dari Akta GSA, kecuali berkenaan dengan S. 47 GSA;
S. 47 Akta GSA memperuntukkan secara khusus berkenaan dengan keadaan bilamana seseorang peneroka telah dikurnikan Hakmilik, iaitu Hakmilik peneroka tersebut hanya terikat dengan sekatan-sekatan dan syarat-syarat yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri berhubung dengan kategori/jenis penggunaan tanah dan S. 124 Kanun Tanah Negara 1965 – Ini boleh dilihat pada belakang Geran Hakmilik – Sekatan Kepentingan;
Adalah jelas sekali selepas peneroka mendapat Hakmilik, undang-undang yang mengawal selia tanah itu secara umumnya bukan lagi Akta GSA, tetapi ia tertakluk kepada Kanun  Tanah Negara 1965, sama seperti tanah-tanah yang lain;
Tun Razak menegaskan seperti berikut (sewaktu menjawab soalan di Dewan Rakyat):-
Tun Razak: “Once title has been granted, the land ceases to be State Land....”
[Terjemahan: Apabila Hakmilik diberikan, tanah itu akan terhenti dari menjadi Tanah Kerajaan (State Land)]
Bahkan, selepas diberikan Hakmilik, Pentadbir Tanah juga sudah tidak mempunyai apa-apa kuasa ke atas tanah tersebut (melainkan berkenaan dengan Sekatan Kepentingan dalam Hakmilik), termasuk kuasa mengusir peneroka dari Rancangan. Ini ditegaskan oleh Tun Razak sebagaimana berikut:-
[Terjemahan: Sekarang, tiada lagi kuasa bagi Pentadbir Tanah untuk mengambil balik tanah dari individu. Pentadbir hanya boleh mengambil balik tanah selagimana tanah itu milik Kerajaan Negeri. Apabila tanah itu terhenti dari menjadi Tanah Kerajaan, maka Pentadbir Tanah tidak lagi mempunyai apa-apa kuasa untuk mengambil balik.]
Selanjutnya, memandangkan dengan pemberian Hakmilik akan menyebabkan pemakaian peruntukan Akta GSA terhenti ke atas tanah peneroka, maka hal yang sama juga berlaku kepada Perjanjian Peneroka (yang ditandatangani oleh Peneroka dan Felda seawal memasuki Rancangan);
Perjanjian Peneroka adalah untuk menyuratkan tanggungjawab dan obligasi peneroka seawal menjadi peserta rancangan, sementara pendudukan dalam jangkaan hakmilik (in expectation of title).

Perjanjian tersebut juga mensyaratkan bahawa peneroka hendaklah menjual buah sawit kepada Kilang Felda – sebelum 1996, Perbadanan Kilang Sawit Felda – selepas 1996, Felda Palm Industries Sdn. Bhd. – anak syarikat Felda selepas penswastaan yang ditubuhkan pada 14/9/1995.

Oleh yang demikian, selepas dikurniakan Hakmilik, Perjanjian Peneroka juga sudah TIDAK TERPAKAI atau tamat dengan sendirinya, kerana tanah tersebut sudah menjadi Hakmilik individu berdasarkan S. 47 GSA dan Kanun Tanah Negara 1965.

Justeru Felda tidak lagi berhak memaksa peneroka menjual buah sawit kepada Kilang Felda. Peneroka bebas menjual buah sawit kepada mana-mana kilang atau pusat pembelian yang menawarkan harga yang lebih tinggi
MENGAMBIL ALIH KAWASAN GSA YANG TIADA PENEROKA – FELDA PLANTATION.
Berkenaan dengan kuasa ini, setiap negeri dipercayai mempunyai hubungan@deal yang berbeza dengan Felda Plantation, dan dari sudut pewartaan/gazzette tanah GSA.
Justeru saya tidak dapat mengulas lanjut kerana tidak mempunyai maklumat yang lengkap.
Namun Pemajakan atau pemindahan milikan tanah-tanah yang diurus oleh Felda Plantation kepada Felda Global Ventures adalah bercanggah dengan motif Rancangan Berkelompok di wartakan oleh Kerajaan Negeri, dan bercanggah dengan konsep pemilikan di bawah Akta GSA.
Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri juga boleh meneliti kuasa-kuasa penamatan Rancangan Berkelompok berdasarkan S. 44 (1) GSA:-

TERMINATION OF GROUP SETTLEMENT AREAS
44.  Power to terminate group settlement areas.
(1) The State Authority, in consultation with the Minister, may by notification in the Gazette declare that the whole or any part of the area within a group settlement area shall cease to be a group settlement area for the purposes of this Act:
Provided that the consultation shall not be necessary where the land within a group settlement area does not constitute a Federal Development area.
 (2) Upon an area ceasing to be a group settlement area-
(a) every part of the area previously included in a designated area shall cease to be part of the designated area;
(b) any land reserved by the Director under section 8 for a public purpose shall be deemed to have been reserved by the State Authority under section 62 of the National Land Code;
(c) except as provided in this Part, this Act shall cease to apply to land in the area.
PENUTUP
Adalah penting untuk kita ketahui bahawa hasrat Tun Razak membentangkan Akta GSA, bukan untuk menjadikan Felda sebagai TUAN, dan peneroka sebagai HAMBA. Jika diteliti dengan baik, kita akan dapati bahawa matlamat sebenar Akta GSA ialah untuk semata-mata memberikan tanah kepada rakyat luar bandar YANG TIDAK BERTANAH dan dengan tanah untuk membangunkan sumber ekonomi rakyat luar bandar.
Apabila Kerajaan Negeri mewartakan sesuatu kawasan sebagai Rancangan Berkelompok, maka Felda dijemput sebagai Pengurus buat sementara waktu sahaja. Selepas tamat satu pusingan, iaitu apabila Hakmilik diberikan secara individu kepada peneroka, maka Felda perlu KELUAR dari kawasan Rancangan dan tidak berhak lagi bertenggek di atas tanah dan harta peneroka.

Hasrat Tun Razak dan Akta GSA, ialah apabila Hakmilik dikurniakan, maka kawasan Rancangan itu akan menjadi sebuah PERKAMPUNGAN. Felda tiada lagi hak dan tempat dalam KAMPONG PENEROKA ini. Pada hari ini, KAMPUNG ini hendak digadaikan.

Tetapi apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Felda seboleh mungkin tanpa malu dan tanpa tunduk kepada Akta GSA dan Kanun Tanah Negara 1965, ingin mendiami dan menjajah harta peneroka  bagi tujuan-tujuan di luar dari niat asal penubuhan. 

Keadaan ini perlu dihentikan. Felda perlu diberikan kesedaran sempadan kuasa mereka. Maruah dan nasib peneroka perlu dibela. Dan semua ini akan berhasil sekiranya Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk menggunakan kuasa mereka di bawah Akta GSA.
Oleh yang demikian, adalah penting untuk semua peneroka dikurniakan Hakmilik kerana itu adalah hak mereka. Dalam apa keadaan sekali pun, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri mengurniakan Hakmilik itu kepada peneroka, selepas puluhan tahun mereka menaburkan keringat dan airmata ke atas tanah itu, untuk sesuap dua menyara keluarga.
Adalah diharapkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dapat meneliti kembali kuasa-kuasa yang dimiliki di bawah Akta GSA, dan meneliti semula kandungan Perjanjian antara Kerajaan Negeri dan Felda untuk mengkaji dengan lebih teliti tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk membangunkan taraf hidup dan memperjuangkan kebajikan peneroka.

Penyenaraian ladang, bagi kes komersial biasa mungkin mendatangkan kebaikan tetapi dalam kes Felda, latarbelakang isu,  kedudukan dan kesannya adalah berbeza sama sekali.
Renungan penuh tanggungjawab dan pandangan kedua adalah sangat mustahak sebelum nasi menjadi bubur.
Kenyataan PM, Tan Sri Isa Dan Ahmad Maslan - bahawa penyenaraian ini perlu - seakan by hook or by crook - diselesaikan sebelum Jun - betul-betul menjurus kepada maksud dana pilihanraya.
Kepentingan peneroka adalah lebih penting dari percubaan mencari dana pilihanraya parti pemerentah ! Apa lagi jika terselit tujuan  mengaut keuntungan segera bagi segelintir yang berkuasa!  Dengan mengumpankan 'durian runtuh' yang akan mengakhiri segala keistimewaan peneroka untuk selama-lamanya, baik generasi pertama mahupun mana-mana generasi selepasnya!

Dato Husam Musa
Exco Kerajaan Negeri Kelantan
22hb April 2011
30 Jamadil Awal 1433

No comments: