Saturday, October 31, 2009

Sri Gading Terlupa Dia Wakil BN

Dari segi kelantangan suara di Parlimen,Datuk Mohamad Aziz, MP Sri Gading mungkin sebaris dengan Shahrir Samad yang datang dari negeri yang sama.

Walaupun serangannya terhadap pembangkang di Parlimen sejak zaman Almarhum Dato Fadzil masih hidup tidak kurang pedihnya dan memanaskan cuping telinga kita,tetapi kadangkala dia juga akan memanaskan cuping telinga juak juak Barisan Nasional sendiri yang rata ratanya hanya datang ke Parlimen untuk mengampu sahaja.

Dua hari lepas dia bukan sahaja memanaskan telinga pemimpin BN,tetapi 'menembak' tepat di kepala dua pemimpin tertinggi parti komponen Barisan Nasional.

Ketika disampuk oleh Bung Mokhtar(MP Kinabatangan) dan Lim Kit Siang(Ipoh Timur),adakah orang yang dimaksudkan beliau dalam kritikannya itu ialah Presiden MCA dan Gerakan,dengan gahnya beliau menjawab 'Ya!Sudah terang lagi bersuluh! dan dibelasahnya lagi pemimpin itu dengan katanya"Masuk ikut pintu belakang,jadi menteri!Perdana Menteri datang dia datang,Perdana Menteri tak datang dia tak datang,ini menteri pengampu!

Datuk Mohamad mungkin rasa puas,dia sudah sampaikan apa yang patut dia sampaikan selaku Ahli Parlimen.Cuma barangkali ketika ucapannya yang lantang itu disuarakan,beliau mungkin terlupa bahawa dirinya itu ialah Ahli Parlimen Barisan Nasional,bukan wakil Pakatan rakyat!

Bukankah adab budaya parti komponen yang sedang mereput itu,pantang derhaka!Mana mungkin sesama rakan sekelambu hendak disanggah!Itu dosa yang tak terampun.Menyalahi adat.Lihat sahaja bekas Menteri dari Johor Baharu,kerana menyokong usul 'jiran sebelah' sudah dianggap berdosa besar.Tunggu saja esok lusa,kita boleh tengok serangan akan dihala kepada wakil Sri Gading itu hinggakan kelihatannya kedua dua pemimpin yang dikritiknya itu seolah olah begitu kudus dan maksum sekali.

Di dalam Fiqh Barisan Nasional,apa saja yang dibuat pembangkang itu salah belaka,dan apa saja yang dibuat Barisan Nasional itu semuanya baik belaka tiadalah salah akan dia.Maka menjadi fardhulah atas semua anggota untuk taat setia tanpa sebarang syak ,dzan dan waham walau sebesar zarah sekalipun.Wallahu a'lam

Utusan Malaysia
'Saya tidak akan minta maaf' - Mohamad

BATU PAHAT 31 Okt. _ Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz tidak akan menarik balik kenyataan agar Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet.

Selain itu, beliau juga tidak akan memohon maaf ekoran kenyataan berkenaan yang mendapat bantahan daripada ahli-ahli kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

"Saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan kenyataan itu pula dibuat semasa sesi perbahasan di Parlimen," katanya ketika diminta mengulas tindakan lebih 30 anggota Pemuda dan Wanita Gerakan mengadakan protes selama 15 minit di hadapan Dewan Wawasan, Menara PGRM untuk menuntut Mohamad menarik balik kenyataannya yang dibuat semasa persidangan Dewan Rakyat Khamis lalu.

Kumpulan tersebut turut menuntut agar beliau memohon maaf secara
terbuka kepada Tsu Koon ekoran kenyataan berkenaan. - Utusan

No comments: