Saturday, December 3, 2011

ANAK Hantar Memo Kepada PM

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 3, 2011
KUALA LUMPUR - Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Disember ini berhubung bantahan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, memorandum itu sebagai tanda protes pihaknya terhadap isu berkenaan yang yang didakwa bakal menggelapkan masa depan mereka.

“Kita minta perdana menteri melihat isu ini sangat kritikal dan perlu pemerhatian sebelum kerajaan menyenarai­kan Felda di dalam bursa saham.

“Melihat kepada isi kandungan perjanjian yang dibuat oleh Felda Global, Anak sekerasnya tidak menyokong penyenaraian ini kerana akan merugikan Felda pada masa akan datang. Sehubungan itu, satu memorandum akan dihantar kepada PM pada 20 Disember ini dan jika tiada tindakan susulan di-ambil pihaknya tidak teragak-agak untuk menyaman kerajaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas Pusat semalam.

Oktober lalu Najib mengumumkan di dalam Bajet 2012 kerajaan bercadang menyenaraikan FGVH di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) sebelum pertengahan tahun 2012.

Mazlan berkata, penyenaraian yang akan dilakukan sebelum pertengahan 2012 ini dibimbangi akan menjejaskan ekuiti Bumiputera dalam Felda kerana ia memboleh-kan pelbagai syarikat besar melabur dalam institusi tanah yang dikuasai orang Melayu.

No comments: