Friday, December 9, 2011

Isu Felda Global Vanture:Memo Untuk Dato Nan

MEMORANDUM RAKYAT

KEPADA

YAB MENTERI BESAR PAHANG

DATO’ SERI ADNAN YAAKOB

Lujnah Pembangunan Tanah PAS Negeri Pahang(LPTPNP) menggesa YAB Menteri Besar Pahang Dato Seri Adnan Yaakob mengkaji semula persetujuan kerajaan negeri untuk menyerahkan tanah Felda Plantation kepada Felda Global Vanture yang akan disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada pertengahan tahun hadapan selari dengan pendirian Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka Kebangsaan(JKPP) Encik Shamsudin Othman.

Sepertimana juga En Shamsuddin, ANAK dan warga felda khususnya ingin mempersoalkan beberapa perkara berikut:-

  1. Untuk apa tanah Felda Plantation seluas 360,000 hektar dipajak kepada Felda Global Venture?
  2. Mengapa pajakan tersebut yang pada mulanya 60 tahun dilanjutkan hingga 99 tahun?
  3. Mengapa bayaran pajakan hanya pada kadar RM251 juta sahaja setahun sedangkan perolehan ketika ini sekitar RM2 bilion?
  4. Apakah jaminan kepada nilai pajakan boleh dipertahankan jika berlaku kejatuhan harga komoditi?

LPTPNP menggesa Kerajaan Negeri yang berkuasa atas tanah tidak memeterai sebarang perjanjian pajakan Tanah Felda Flantation dengan Felda Global Venture Holding dan mengeluarkan hakmilik kerana ianya telah lari daripada matlamat sebenar penubuhan Felda. Tanah Felda Plantation bagi negeri Pahang sahaja adalah seluas 143,584 hektar; yang terbesar di Malaysia. Hasrat murni Almarhum Tun Abdul Razak mewujudkan Felda adalah untuk mempastikan rakyat memiliki tanah.Menjadikan tanah Felda sebagai estet yang tidak didiami peneroka sudah menyimpang dari tujuan asal penubuhan,inikan pula memajak tanah tersebut kepada Felda Global Vanture selama 99 tahun.

LPTPNP memperolehi maklumat bahawa pendapatan Felda pada tahun 2010 sekitar 2,386.96 bilion manakala perbelanjaan tahun 2010 RM1,980.76 bilion. Ertinya ada lebihan sekitar RM406 juta. Walhal melalui perjanjian perkongsian keuntungan tahunan pada kadar 15%, Felda hanya menerima sekitar RM257 juta sahaja. Ini bermaksud, Felda hanya menerima sekitar RM508 juta sahaja setahun. Felda kehilangan hampir 70% pendapatan tahunan dan memikul beban defisit perbelanjaan sekitar RM1.3 bilion!

Adalah tidak masuk akal dalam mana-mana amalan perniagaan atau pelaburan; lebih-lebih lagi di pukul canang penyenaraian Felda Global Venture akan membawa keuntungan besar; tiba-tiba Felda yang merana dek hilang punca pendapatan yang cukup besar. Ini belum lagi mengambil kira jika penyenaraian tersebut mengalami kegagalan daripada sasaran keuntungan tahunannya.

Pentadbiran Felda telah memohon Felda Global Venture Holding memperakukan tiga perkara berikut:-

  1. Kadar pajakan tahunan hendaklah mengikut kadar pajakan semasa,
  2. Kadar perkongsian keuntungan dinaikkan dari 15% kepada 30%
  3. Keperluan wang tahunan Felda berjumlah tidak kurang RM1,500 juta disediakan secukupnya oleh Felda Global Venture Holding

LPTPNP difahamkan Felda Global Venture enggan memenuhi tuntutan pentadbiran Felda seperti di atas. Jika begini kondisinya; di mana Felda mahu mendapatkan kekurangan RM1.3 bilion setiap tahun?

Sejak tahun 1996, kerajaan sudah menghentikan sebarang peruntukan kepada Felda. Kalau sebelum ini, peruntukan sejumlah RM100 juta pun telah dihentikan, inikan pula RM1.3 bilion?

Sehubungan dengan itu,LPTPNP sekali lagi menggesa YAB Menteri Besar supaya membatalkan hasrat untuk menyerahkan tanah Felda kepada Felda Global Vanture yang ternyata bakal merugikan rakyat yang sangat memerlukan tanah.

Sekian Terima kasih

Lujnah Pembangunan Tanah PAS Negeri Pahang

Bertarikh:10 Dis 2011

1 comment:

pru13 said...

Isu felda ni mmg dari dlu lagi xabes2.. hissh!