Sunday, August 16, 2009

IKTIBAR HARAMAIN


Selepas meninggalkan Sri Langka tempohari, rombongan Umrah Tarbawi Amal dan Dewan Muslimat Pusat terbang ke Jeddah dan seterusnya dibawa ke Madinah, bumi hijrah Rasulullah SAW. Setelah 3-4 hari di Madinah, kami di bawa ke Makkah sebagai destinasi paling utama dalam rehlah ini.

Di Madinah, kami telah diperlihatkan dengan pelbagai perkara yang sebelum ini hanya kami dengar menerusi cerita orang sahaja. Kini segala-galanya di hadapan mata kami. Kami telah saksikan Masjidin Nabawi yang diasaskan oleh Rasulullah SAW. Kami telah ziarahi pusara baginda, kami jejaki perkuburan ribuan sahabat di Baqi'. Kami telah masuk dan beribadat di dalam Raudhah, salah satu taman dari ribuan taman syurga.

Kami saksikan di hadapan mata, kemerahan Gunung Uhud yang menyaksikan pertembungan haq dan batil. Kami telah daki Jabal Rummah yang menjadi saksi kemenangan hanya berpihak kepada yang benar dan taat.

MADINAH... Sebuah kota yang tenang. Kota yang menerima kedatangan Islam sebelum kehadiran Rasulullah SAW dan para Muhajirin. Tidak seperti penduduk Makkah, yang agak keras sikap mereka dan sukar serta lambat menerima hidayah. Penduduk Madinah sedari awal menanti2 kehadiran Rasul Akhir Zaman.

Namun disebalik ketenangan kota Madinah, Rasulullah SAW terpaksa berhadapan dengan musuh yang lebih ramai dan pelbagai. Baginda terpaksa berhempas pulas dengan karenah kaum Yahudi. Baginda terpaksa berhadapan orang Arab yang belum menerima Islam, Kristian Najran yang datang semata-mata untuk berdebat. Baginda juga terpaksa menghadapi serangan musuh dari luar yang terdiri dari kaum Musyrikin Makkah, qabilah-qabilah Arab dan juga kuasa besar Rom di Utara.

Yang paling perit, paling sukar dan paling berserabut, Rasulullah SAW dan umat Islam terpaksa berhadapan dengan penentangan 'bawah tanah' kaum MUNAFIQIN. Golongan inilah yang paling sukar untuk dihadapi.

Madinah menyaksikan golongan munafiq menyelinap di celah-celah saf kaum muslimin, bersolat di belakang Rasulullah SAW, membaca ayat-ayat suci Al Quran, bahkan turut serta ke medan perang.

Malangnya, mereka ke medan perang hanya untuk memecah belahkan saf pejuang Islam. Mereka ke masjid hanya untuk menyembunyikan kekufuran. Mereka membaca Al Quran bukan untuk mengamalkan suruhannya. Mereka solat di belakang Rasulullah SAW, tetapi mereka menghina baginda. Dan mereka membina masjid hanya untuk bermegah dan untuk 'membahagi-duakan' umat Islam.

Mereka meniupkan semangat asabiyyah di antara Aus dan Khazraj supaya kembali bermusuhan seperti di zaman Jahiliyyah. Mereka hasut 300 orang sahabat supaya meninggalkan medan perang Badar.

Paling jahat, mereka bekerjasama dengan kaum Yahudi dan Musyrikin untuk memerangi Islam. Mereka memberi laluan mudah kepada kaum Yahudi dan Musyrikin untuk menyerang Madinah dalam peperangan Ahzab.

Sesungguhnya Allah mencela mereka dengan celaan yang amat dahsyat. Orang yang baru mula merangkak untuk baca Al Quran akan bertemu celaan ke atas golongan Munafiq ini seawal ayat 8 Surah Al Baqarah.

Jika di Makkah, Allah mencela Abu Lahab yang kafir itu dengan kalimah, "Celaka kedua tangan Abu Lahab." Maka di Madinah, golongan yang membaca ayat-ayat Allah, tetapi menolak hukum-hukumnya hanya untuk mendapatkan kepentingan dunia ini, Allah MAKI mereka seperti ANJING.


فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِن تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَث ذَّلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُواْ بِآيَاتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
"...maka perumpamaannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir." (Al A'raf 7:176)

Setiap apa yang dipaparkan di Madinah perlu diambil iktibar. Jika zaman nabi ada munafiq, maka zaman moden ini lebih ramai munafiq dan lebih canggih aktiviti mereka. Mereka mungkin membina masjid, bank Islam, Pusat Islam, musabaqah Al Quran dll, tapi mereka juga yang menghina hukum Al Quran, mereka jugalah yang mengekalkan arak dan judi tanpa ada usaha untuk mengurangkannya. Mereka jugalah yang menyingkir mufti, qadhi dan ahli-ahli agama yang cenderung kepada gerakan Islam. Mereka jugalah yang menangkap dan memenjarakan para ulama' tanpa sebarang dosa. Mereka jugalah yang membuka pintu dan ruang seluasnya kepada musuh Islam untuk mengkritik Islam. Dan mereka jugalah yang menyambung lidah kuffar menggelarkan pejuang Islam sebagai pengganas.

Paling diingati, mereka jugalah yang membunuh Ustaz Ibrahim Libya di dalam rumahnya sendiri hanya kerana Al Marhum Ustaz Ibrahim memperjuangkan Islam.

Betapa sukarnya Rasulullah SAW berhadapan dengan mereka. Maka demikian jugalah sukarnya kami hendak berhadapan golongan ini, bila balik Malaysia nanti. Allahu Akbar!

No comments: