Friday, December 26, 2008

Selamat Bersemadi,Che Awang.

Sekitar jam 12.30 malam tadi ,ketika berada di Pejabat PAS Kawasan Kuala Krau di Nadi Kota,AJK PAS kawasan yang hampir mengakhiri mesyuarat jawatankuasanya dikejutkan dengan panggilan telefon,"Che' Awang dah tiada".
Jusoh bin Abu Bakar namanya tiada siapa yang kenal kecuali yang benar benar rapat dengannya.Tetapi nama 'Che' Awang' dikenali dari kanak kanak PASTI,pelajar UiTM,pensyarah,ahli dan pimpinan PAS.

Che' Awang atau Jusoh ,54 tahun kembali ke rahmatullah malam tadi ,malam Jumaat dan telah selamat disemadikan pada jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Bandar Jengka setelah beberapa hari terlantar di rumahnya akibat serangan penyakit dipercayai Cikungunya.

Dalam suasana hidup serba sederhana sebagai pemandu van mengangkut pelajar,beliau telah menghabiskan sisa hidupnya menyumbang bakti untuk perjuangan Islam khususnya di Bandar Jengka.Tanpa jawatan penting di dalam PAS,Allahyarham Che Awang melakuklan tugas penting yang tak ramai orang sanggup lakukan.

Setiap kali jamuan raya,kenduri tahlil diadakan di Masjid Lama yang memerlukan tenaga penting di ceruk dapur ,bahagian penting yang tidak popular,tanpa upah tanpa pujian,Che Awang pastinya ada di situ.Dia akan bertarung dengan asap,dia sudah lali dengan panasnya bara api,dia akan berada seawal mungkin dan pulang seusai program,siap pinggan dibasuh,periuk di tiarap.

Sudah puluhan ribu rakyat Jengka yang makan nasi dan gulai dari air tangannya.Dari Kak Odah di Matau yang jadi mangsa banjir sampai lah Pak Hing di Jenderak ,semuanya dah rasa masakan Che Awang.Busu dan Lutfi dah hilang regunya di dapur Masjid Lama.

Ketika musim pilihanraya,Che Awang memikul buluh,memacak bendera bersama anak muda,menjaga poster dan sepanduk dari gangguan lawan.Dia jugalah yang mengusung tiang khemah,memasang,membuka ,melipat.Tak de siapa yang janjikan upah untuknya.Pada Che Awang,upah paling besar yang tidak ternilai harganya hanyalah ganjaran Allah di hari akhirat.

Hari ini khidmat Che Awang sudah berakhir.Dia sudah dijemput Khaliknya untuk pulang untuk menerima ganjaran amal baktinya.Dia tak ke dapur lagi,tak mengusung buluh lagi.

Selamat bersemadi Che Awang bersama dengan para pejuang yang mukhlis.Barangkali nama Che Awang tidak popular di dunia tetapi mudah mudahan namanya disebut sebut di kalangan makhluk di langit.

Ya Allah ampunilah segala dosa saudara kami ini,terimalah segala amal baktinya,masuk kan lah dia ke dalam syurga bersama-sama para anbiya,syuhada dan solehin.Kurniakanlah kesabaran kepada kaum keluarganya.Amin ya rabbal alamin.Al Fatihah

2 comments:

Anonymous said...

ya, sama sama kita doakan semuga allah mencucuri rahmat ke atas nya. Pak Chik Awang telah menyumbangkan saham dalam perjuagan islam dalam bentuk tenaga dan keringat, yang ada ilmu sumbang dalam bentuk ilmu manakala yang berada sumbang dalam bentuk derma untuk memartabatkan islam. Janjinya semua kita ada saham masing-masing untuk islam. Semuga keluarga yang ditinggalkan dapat bersabar di atas ujian ini.

Pensyarah UiTM,
Jengka.

Ibnu Madzir said...

Semoga Cik Awang ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman..teringat akan cik awang masa saya kecil dulu..Jasa dan pengorbanan cik awang untuk perjuangan sangat tinggi walaupun bekerja di tempat yang 'rendah'..Ya Allah jika engkau mengtakdirkan kami mati, maka matikanlah kami sebagai syuhada...doa ana dari tanjung malim UPSI.Maaf kerana tak dapat pulang ziarah.

Akmal Bin Madzir,
Anak Jengka di UPSI