Timbalan Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat
MerangkapKetua Penerangan Pemuda PAS Pahang.
Kami dari Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) dengan ini ingin merujuk kepada keputusan mengejut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail yang telah menarik balik pertuduhan terhadap 31 orang penyokong Hindu Rights Action Force (HINDRAF) yang sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 149 Kanun Keseksaan atas dakwaan cubaan membunuh seorang pegawai polis dalam satu kejadian di hadapan Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves pada 25/11/2007 yang lalu.
Keputusan ini amatlah tidak dijangkakan, pada saat seluruh kekuatan media dan jentera perang saraf pemerintah begitu bersungguh-sungguh memberi gambaran negatif terhadap apa jua bentuk perhimpunan aman yang telah beberapa kali diadakan oleh pelbagai pihak sejak kebelakangan ini. Dengan gugurnya pertuduhan ini, yang dibuat oleh Peguam Negara atas permintaan Perdana Menteri (meskipun secara teknikalnya ia adalah kuasa mutlak Peguam Negara berdasarkan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan), telah memberi gambaran kepada rakyat terbanyak betapa kerajaan yang ada pada hari ini adalah sebuah kerajaan yang “bertimbangrasa dan berperikemanusiaan”.
Maka, atas sikap timbangrasa yang begitu terserlah atas pengguguran pertuduhan ke atas kumpulan HINDRAF 31 ini, maka DPP Pusat ingin menyeru kepada Peguam Negara selaku Pendakwaraya utama dalam negara ini supaya menggugurkan serta merta segala pertuduhan ke atas tujuh orang mahasiswa IPTA (lebih dikenali sebagai kumpulan ISA 7) yang telah didakwa di bawah Seksyen 27 Akta Polis kerana menyertai satu perhimpunan aman membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di perkarangan Masjid Negara pada bulan Jun 2001.
Selepas mengharungi perbicaraan yang memakan masa hampir empat tahun, pada 22hb April 2005, ketujuh-tujuh mahasiswa terbabit iaitu Rafzan Ramli dan Helman Sanudin (UiTM), Nik Mohd Norhafizi dan Ahmad Kamal Abd. Hamid (UKM), Wan Sanusi Wan Mohd Nor dan Khairul Amar Mohamad (UM) dan Zulkifli Salleh (UTM) telah tidak dipanggil untuk membela diri dan dilepaskan serta dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Namun, Peguam Negara selaku Pendakwaraya telah membuat rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Majistret tersebut hingga akhirnya Mahkamah Tinggi telah membenarkan rayuan tersebut dan ketujuh-tujuh mahasiswa terbabit telah diarahkan untuk membela diri diatas pertuduhan yang dikenakan.
Hingga ke hari ini, kes ini masih belum selesai. Bahkan sambungan perbicaraan bagi kes ini telah berjalan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 17hb dan 18hb Disember 2007 di mana kes ini telah ditangguhkan pula ke tarikh 26hb Januari 2008. Kami telah dimaklumkan oleh salah seorang mahasiswa terbabit bahawa perbicaraan telah ditangguhkan bagi membolehkan Peguambela kepada ketujuh-tujuh pelajar terbabit membuat representasi kepada Peguam Negara supaya pertuduhan ke atas kumpulan ISA 7 ini digugurkan sama seperti yang berlaku kepada kumpulan HINDRAF 31.
Selama tempoh lebih enam (6) tahun dari tempoh mereka mula didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada tahun 2001 hinggalah ke hari ini, ketujuh-tujuh mahasiswa tersebut telah digantung pengajian mereka berdasarkan kepada Seksyen 15D (1) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (‘AUKU’) yang memperuntukkan jika seorang pelajar universiti didakwa di mahkamah di atas sebarang kesalahan jenayah, maka pelajar terbabit hendaklah digantung dari menjadi seorang pelajar universiti sepanjang prosiding kes tersebut berjalan di mahkamah. Adalah jelas kesemua mahasiswa ini bukan sahaja menjadi mangsa kepada Seksyen 27 Akta Polis yang mencabul hak berhimpun secara aman yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, malah mereka juga turut menjadi mangsa kepada peruntukan Seksyen 15D (1) AUKU 1971 yang telah ‘menghukum’ mereka lebih awal dengan penggantungan pengajian padahal mereka belum lagi didapati bersalah oleh mahkamah.
Walaupun nasib mereka telah berkali-kali disuarkan oleh pelbagai pihak termasuk parti-parti politik dan juga NGO-NGO sivil yang lain, namun pihak Peguam Negara tetap bernafsu untuk menyabitkan mereka. Padahal jika pun mereka didapati bersalah di bawah peruntukan Akta Polis, hukuman maksimum yang bakal dijatuhkan jauh lebih ringan jika hendak dibandingkan dengan kesusahan yang ditanggung oleh ketujuh-tujuh mahasiswa ini yang berterusan digantung pengajian sejak tahun 2001 lagi.
Maka, sekiranya Perdana Menteri dan Peguam Negara boleh menunjukkan sikap “bertimbangrasa dan berperikemanusiaan” terhadap kumpulan HINDRAF 31, maka apakah halangan hingga sikap yang sama tidak boleh dipamerkan pula terhadap kumpulan ISA 7? Bukankah mereka juga warganegara Malaysia yang sepatutnya dilayan sama di sisi undang-undang? Jika sekiranya kumpulan HINDRAF 31 yang dituduh cuba membunuh seorang pegawai polis boleh digugurkan pertuduhan ke atas mereka dengan begitu sahaja, maka apalah sangat jika hendak dibandingkan dengan kumpulan ISA 7 yang hanya dituduh terlibat dengan satu perhimpunan haram dalam keadaan tiada siapa pun yang tercedera.
Justeru, DPP Pusat merayu kepada YAB Perdana Menteri amnya dan kepada Peguam Negara khasnya supaya menerima representasi yang bakal dibuat oleh ketujuh-tujuh mahasiswa terbabit supaya mereka dilepas dan dibebaskan dari sebarang pertuduhan di mahkamah. Jika sekiranya Perdana Menteri dan Peguam Negara tetap berpandangan bahawa tindakan kumpulan ISA 7 berhimpun pada tahun 2001 adalah salah di sisi undang-undang, maka terimalah hakikat bahawa kesemua telah pun dihukum sejak tahun 2001 lagi apabila mereka digantung pengajian sebegitu lama hinggalah ke hari ini.
No comments:
Post a Comment