Wednesday, July 2, 2008

Kem Solat Nisa' Kuala Krau Pecah Rekod




Program Kem Motivasi Solat yang diadakan pada Ahad lalu di Tahfiz ArRahimmiyah Bandar Jengka mencipta sejarah kehadiran peserta teramai dengan jumlah 302 orang pelajar dari seluruh kawasan Jengka.

Program anjuran Nisa' Kawasan Kuala Krau kali yang kedua ini pada mulanya hanya menghadkan bilangan peserta setakat 100 orang,namun di atas permintaan ibu bapa yang prihatin dengan pendidikan agama anak-anak mereka,pihak penganjur terpaksa membuka penyertaan kepada semua yang hadir pada hari tersebut.

Menurut Pengarah Nisa' Kawasan,Puan Siti Zaleha Abu Bakar,pihaknya bercadang untuk meneruskan program seumpama ini bagi mempastikan didikan agama secukupnya di samping kecintaan kepada amalan solat dapat diterapkan di dalam jiwa kanak-kanak sejak di sekolah rendah lagi.

Pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada semua ibu bapa yang menghantar anak-anak ke program tersebut ,di samping kerjasama yang sangat baik dari semua fasilitator yang terdiri dari pelajar-pelajar Maahad Sultan Ahmad Shah.

Di sepanjang program tersebut para peserta yang dipecahkan kepada beberapa kumpulan bengkel telah dibimbing sepenuhnya dalam ilmu-ilmu asas berkaitan wudhu dan solat.Para peserta juga turut mengikuti ceramah,tayangan slid,zikir munajat dan sama-sama mengerjakan solat berjemaah di sepanjang program.

No comments: