Oleh: Ibnu Ismail
"Pakatan Rakyat Bawa Budaya Liar." Demikan tajuk sebuah berita yang ditulis oleh THOMAS CHONG di Utusan Online sebagai mengulas ensiden 'tunjuk punggung' di Stadium Kelana Jaya Ahad lalu.
Chong memetik kata-kata Hamid Albar yang menyifatkan parti-parti pembangkang sebagai pembawa budaya liar apabila menyelitkan acara konsert dalam Himpunan Protes Harga Minyak itu.
Seorang rakan menghantar sms kepada penulis, "Kalau macam tu sama je la dengan Umno. Umno buat konsert, PR pun buat juga."
Sukar juga penulis nak menangkis dakwaan berkenaan. Penulis hanya membalas, "Tapi dia nyanyi lagu hentam pemimpin zalim..."
Jauh disudut hati penulis tidak bersetuju dengan agenda berkenaan. Menyelitkan unsur hiburan dalam program "MEMBANTAH" dan "MEMPROTES" kenaikan harga minyak. Dengan kata lain, program 'marah' dalam ketawa. Macam main-main. Tak serius membantah.
Pihak yang dibantah hanya tersenyum. "Kata nak bantah kenaikan harga minyak. Tapi ada hiburan pula. Macam tiru program kita je..." Mungkin itu yang disebut oleh penyokong-penyokong BN.
Ada yang lebih keras bersuara. Terutama laman dan blog dari pantai timur dan utara semenanjung. Ada yang menyifatkan PAS diperkudakan oleh PKR yang sememangnya tak faham perintah agama.
Ada yang menyeru dan mendesak PAS supaya keluar daripada Pakatan Rakyat kerana ternyata PKR dan DAP hanya membawa budaya yang sama dengan Umno. Ucapan-ucapan Anwar-Azizah yang menolak Hudud disiarkan kembali.
Kesimpulannya, pihak yang marah dengan tragedi yang berlaku di Stadium Kelana Jaya menyifatkan pakatan PR dan pakatan BN adalah sama!
Penulis cuba mengkaji pendapat-pendapat ini. Nampak macam ada kebenaran. Namun jika direnung dalam-dalam, sebenarnya ia tidak sama. Bahkan jauh sejauh bumi dan langit.
Di dalam BN ada budaya hiburan dan hiburan melampau. Ia sudah menjadi bagaikan dasar dalam BN. Mesti ada hiburan. Dan apabila dilaksanakan, ustaz-ustaz dalam Umno tidak membantah. Kadang-kadang merekapun 'joint sekaki'.
Tidak pernah terdengar satu bantahan daripada biro agama dalam Umno, jauh sekali bantahan dari Umno sendiri. Ia dilaksanakan dengan penuh keredhaan pemimpin, ahli, pengikut dan penyokong parti itu.
Berbeza dengan PAS dan Pakatan Rakyat, hiburan memang ada. Tetapi di dalam PAS hiburan dibataskan dengan garis panduan agama dan budaya setempat. Sebab itu Mawi, Ramli Sharif, M.Nasir dan kumpulan-kumpulan nasyid mengada persembahan di Kelantan. Mereka tahu PAS tidak menghalang hiburan, tetapi ada hadnya.
Dalam memenuhi had dan syarat yang ditetapkan itu, Malaysia menyaksikan Maya Karin pergi ke Kelantan dengan bertudung kepala. Jadi ini tidak sama dengan budaya dalam BN/Umno.
Dalam kes persembahan melampau yang berlaku di Kelana Jaya, memang tidak dinafikan ia telah melangkaui batas sempadan dan garis panduan hiburan yang ditetapkan Islam. Ini kerana parti-parti lain dan NGO's yang turut bergabung dalam Protes kebanyakannya tidak mengambil pusing soal hukum hakam agama.
Tetapi ia berbeza dengan budaya dalam BN, di mana 'warga BN' keseluruhannya bersetuju dan tidak membantah aktiviti tersebut. Sebab itu ia semakin bebas dan berleluasa. Lihat sahaja bercambahnya rancangan-rancangan hiburan yang merosakkan akhlak remaja di dalam televisyen tanpa sebarang bantahan daripada Umno, satu-satunya parti orang Melayu beragama Islam dalam BN.
Di dalam PR, kita bersyukur wujudnya PAS sebagai benteng hukum hakam agama Islam. Bukan sekadar PAS, bahkan ahli-ahli PKR juga ramai yang 'reti' agama. Mereka inilah yang bertindak menjadi 'kelenjar yang melawan bakteria'.
Lihat sahaja apa yang berlaku di Kelana Jaya, sebaik sahaja artis berkenaan melakukan perbuatan yang tidak senonoh, secara spontan penonton terus bertindak menghentikannya; satu tindakan yang tidak pernah dilakukan oleh ahli-ahli Umno. Akhbar melaporkan bagaimana para penonton terus membaling botol dan sebahagian yang lain menyerbu naik ke pentas dan menghalau penyanyi yang tidak senonoh itu daripada pentas utama.
Lebih menarik lagi, orang yang bertanggung- jawab membawa penyanyi berkenaan, Hishamuddin Rais segera memohon maaf dan mengaku bertanggung- jawab di atas kesalahannya.
Tidak cukup dengan itu, pemuda-pemuda PAS dari Utara dan pasukan Unit Amal segera bertindak keluar dan menarik dari dari terlibat dengan program berkenaan. Harakahdaily yang menjadi lidah rasmi PAS tidak ketinggalan mengkritik penganjur membenarkan penyanyi berkenaan beraksi.
Inilah yang disebutkan sebagai usaha 'nahi mungkar'. Bukan soal ada atau tidak kemungkaran itu, tetapi persoalannya apabila ada kemungkaran, adakah ia dicegah atau tidak.
Inilah budaya yang tidak ada dalam BN dan Umno. Budaya menyong apabila 'ma'ruf' dan mengkritik serta mencegah apabila 'mungkar'.
Di zaman Rasulullah SAW juga ada orang yang berzina dan minum arak. Tetapi Rasulullah SAW dan para sahabat segera bertindak.
Bukanlah satu kehinaan manusia yang melakukan dosa. Tetapi yang hina ialah mereka yang membuat dosa, kemudian meresa selesa dengan dosanya dan terus melakukannya lagi tanpa penyesalan dan taubat.
Inilah dua budaya yang berbeza di antara PAS dan UMNO, antara PR dan BN.
No comments:
Post a Comment