Friday, September 19, 2008

Gesaan Untuk Mengadakan Sidang Tergempar Parlimen

KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA
PETALING JAYA, MALAYSIA, 18 SEPTEMBER 2008

Hari ini pemimpin Pakatan Rakyat telah menyerahkan surat kepada Perdana Menteri meminta beliau untuk mengadakan satu persidangan khas Parlimen Malaysia bagi membincangkan usul “Bahawa Dewan yang mulia ini telah hilang kepercayaan terhadap YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan kerajaan pimpinan beliau” dan persidangan tersebut perlu dilaksanakan tidak lewat dari hari Selasa 23hb September 2008.

Gesaan untuk mengadakan persidangan tersebut selari dengan Peraturan 11 (3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan ianya menuntut satu jawapan segera dari YAB Perdana Menteri disebabkan kedudukan genting politik semasa. Sebarang kelengahan dari pihak YAB Perdana Menteri, akan ditafsirkan sebagai satu usaha untuk mensabotaj proses demokrasi dan dianggap sebagai satu penyalahgunaan Kuasa Eksekutif.

Tindakan YAB Perdana Menteri untuk bermain-main dengan istilah serta bahasa yang terkandung di dalam surat kami yang pertama, hanya memperlihatkan kepada rakyat jawapan yang tidak matang. Hasrat pertemuan yang dinyatakan di dalam surat tersebut sangat jelas, iaitu untuk membincangkan hala tuju kepimpinan negara- dengan mengambil kira kedudukan dan posisi beliau, kami telah mengambil satu jalan yang berhemah.

Saya mendapati komen Perdana Menteri terhadap saya sewaktu sidang media semalam sebagai tidak bertanggungjawab dan cuai terutamanya selepas penangkapan beberapa individu di bawah ISA pada hari Jumaat lepas.

Beliau telah mencampur-adukkan isu yang sebenar, iaitu isu demokrasi, kebebasan dan kedaulatan undang-undang dengan isu keselamatan negara. Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk mengganggu serta menahan ahli politik yang berseberangan dengan parti pemerintah merupakan satu pelanggaran undang-undang yang nyata. Penggunaannya yang berterusan pasti menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan memburukkan lagi suasana politik semasa.

Perdana Menteri ternyata mengabaikan kedaulatan undang-undang dan sanggup untuk melanggar batas-batas Kuasa Eksekutif yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini sangat menampakkan sikap seorang diktator yang degil untuk terus berkuasa dan menghampakan harapan rakyat.

Sebagai seorang Perdana Menteri yang masih berada di tampuk kekuasaan dan sebagai bekas Menteri Kewangan, kami akan memastikan beliau bertanggungjawab terhadap situasi politik semasa dan salah urus ekonomi negara. Tuduhan beliau bahawa saya yang menyebabkan kedudukan ekonomi negara tergugat sangat tidak berasas.

Saya telah bertemu dengan ramai pengurus dana di rantau ini, yang mewakili aset yang berjumlah USD 1 trillion dan mereka telahpun menyatakan sokongan mereka kepada perubahan menyeluruh di Malaysia termasuklah kebebasan kehakiman, media dan pihak polis serta agensi pencegah rasuah yang lebih professional, juga peraturan yang mesra pelabur dan jaminan tiadanya campur tangan ahli politik di dalam pengurusan Bank Negara. Inilah antara polisi yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat untuk dilaksanakan, dan insiatif inilah yang gagal diambil oleh pentadbiran sekarang terutamanya selepas 8hb Mac 2008.

ANWAR IBRAHIM
Ketua PembangkangKetua Umum Parti Keadilan Rakyat

No comments: