Tuesday, September 2, 2008

Merdeka,Apa Kayu Ukur Patriotiknya?


Dah 3 hari sambutan ulangtahun kemerdekaan disambut di negara kita.Saya belum sempat mengucapkan 'Salam Kemerdekaan' untuk semua tetamu.Mungkin juga ada yang berasa blog ini agak kurang patriotiknya kerana tidak meraikan sambutan kemerdekaan.

Saya baru saja perasan tiada sebarang posting berkaitan kemerdekaan pada blog ini,itupun setelah mendengar anak murid saya Ikhwan yang suka menyanyi di dalam kelas mendendangkan lagu "Jalur Gemilang" yang diubah suai menjadi 'jalur gemilang jom kita pakai gelang' dan anak lelaki saya di Tahun Satu pula mengubahsuai lagu 'Tanggal 31' bertukar jadi 'Tanggal Seluar Baju kita'.Tapi untunglah mereka tak pasang bendera Malaysia terbalik.

Kalaulah patriotik seseorang itu diukur pada jalur gemilang yang dikibarkan pada bangunan atau kenderaan,atau pada jeritan merdeka pada malam 31 Ogos lalu,yang paling kuat jeritnya dialah paling patriotik,atau mungkin juga pada bunga api dan mercun yang ditembak pada malam tersebut,maka tentulah tahun ini layak dinobatkan sebagai Tahun Rakyat Tak Berpatriotik bagi negara ini.
Apa tidaknya,daripada 30 buah bangunan kedai yang bersetentang dengan pejabat saya di Bandar Jengka hanya 5 kedai yang mengibarkan bendera Jalur Gemilang,yang selebihnya mungkin tak patriotik juga lah.
Soal patriotik atau tidak pihak yang berkuasalah yang wajar dipertanggungjawabkan kerana merekalah yang punyai kuasa untuk menyedarkan rakyat tentang erti kemerdekaan.Apa yang kita saksikan kebelakangan ini sambutan kemerdekaan seolah-olah sudah bertukar kepada Sambutan Ulangtahun Umno dengan paparan gambar-gambar para pemimpin dan pengasas Umno dari Onn Jaafar hinggalah Pak Lah.

Nama-nama Mat Kilau,Tok Janggut,Bahaman,Tok Gajah,Abd Rahman Limbung,Mat Saleh,Maharajalela hanya layak menjadi nama rumah sukan di sekolah sekolah.Pelajar tak kenal siapa tokoh itu.Mereka hanya tahu Tunku Bapa Kemerdekaan.Bagaimana rakyat yang insaf dan tahu perjuangan sebenar nak kibar bendera Malaysia.Kalau saya kibar bendera Malaysia di kereta saya,mungkin akan ada yang melabel saya 'orang Umno' walaupun jauh disudut hati saya pun teringin nak kibarkan Jalur Gemilang itu.

Kenapa tidak?Saya orang PAS,pemimpin parti saya yang terdahulu turut menyumbangkan tenaga untuk kemerdekaan,bahkan mereka merengkok di dalam penjara.Belum saya temui catatan sejarah yang menyebutkan Tunku,Onn Jaafar dan pimpinan utama Umno pernah tidur didalam jaringan besi.

Saya ingin memetik apa yang dicatatkan oleh blogger Roslan SMS dalam blognya http://n32.blogspot.com/untuk tatapan semua:

Apakah pendirian PAS mengenai kemerdekaan Tanah Melayu ketika itu? Berikut adalah petikan dari pandangan Almarhum Prof Zulkifli Mohamad, seperti yang tersiar dalam Suara Islam 15 Mei, 1957:

Setelah tercapai kemerdekaan sampailah kita kepada peringkat perjuangan mengisi kemerdekaan, dari sini bermulalah peringkat kedua perjuangan kita, peringkat jangka panjang perjuangan PAS.Sebagai sebuah parti politik yang berideologi, kita berazam hendak mengisi kemerdekaan itu dengan ideologi kita sendiri, iaitu ideologi Islam. Kita percaya dengan Islam atau ideologi Islam sahajalah negara kita dan umat kita dapat dibawa ke arah keselamatan dan kebahagian yang sebenar-benarnya.

Ini bermakna PAS kenalah berikhtiar menjadikan negara ini pada akhirnya sebagai sebuiah Negara Islam dalam erti kata yang sebenar, lebih daripada sebagai sebuah negeri Islam semata-mata.Tugas menegakkan sebuah Negara Islam yang didalamnya segala ideolgi Islam dan segala undang-undang yang di dalamnya adalah kewajipan pokok yanh harus diperjuangkan oleh tiap-tiap mereka yang bernama Muslim, lebih-lebih lagi oleh parti Islam seperti PAS.


No comments: