Sunday, April 3, 2011

Belasungkawa Untuk Mendiang Yap Ah Peng

Suatu hari dalam tahun 2002 ketika saya bertugas sebagai Setiausaha Kerja PAS Negeri Sembilan, seorang lelaki Cina yang saya kenal sebagai Mr Yap datang ke Pejabat PAS Negeri Sembilan meminta bantuan daripada saya untuk membuat draf memorandum untuk beliau serahkan kepada Presiden PAS Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang yang akan melawat Negeri Sembilan.Beliau adalah seorang bekas ADUN kawasan Jimah yang juga Pengerusi Badan Bertindak Penternak Khinzir di Bukit Pelanduk.

Ketika penyakit JE menyerang penduduk sekitar Bukit Pelanduk yang dikatakan berpunca daripada khinzir alias babi,pasukan tentera Malaysia yang sudah bertahun tahun berdamai dengan Parti Komunis Malaya dihantar ke Bukit Pelanduk untuk bertempur dengan musuh negara yang terbaru itu.Habis segala jenama babi dan khinzir mati terkorban.Penternak yang bergantung mata pencarian kepada binatang tersebut bagaikan dilanda tsunami.

Kerajaan menjanjikan bayaran pampasan kepada penternak.MCA pulak menjadi juara mengutip derma untuk diagihkan kepada mangsa JE dan penternak yang hilang sumber rezki mereka.

Tapi sekian lama menunggu,pampasan yang dijanji tak kunjung tiba,derma yang dikutip MCA tak tau masuk ke poket siapa.

Kunjungan Tok Guru Menteri Besar Kelantan ke Bukit Pelanduk menziarahi mangsa JE memecah kebuntuan mereka.Tok Guru diserang di segenap pelusuk oleh pemimpin Umno,kononnya Tok Guru melawat kandang babi.Serangan itu rupanya membawa padah kepada Umno.Kalau dulu Umno cuba takutkan orang Cina dengan PAS,tapi serangan kali ini menyebabkan orang Cina semakin dekat dengan PAS.

Penternak Khinzir di Bukit Pelanduk memilih PAS untuk diadukan masalah mereka.Kesempatan kunjungan Presiden PAS ke Negeri Sembilan selepas kunjungan Tok Guru Nik Aziz dimanafaat sepenuhnya oleh masyarakat Tionghua di negeri tersebut.

Mr Yap Ah Peng yang bertemu saya meminta disiapkan satu draf memorandum bukan hanya untuk mengadu masalah mereka di Bukit Pelanduk,tetapi memorandum menyokong pelaksanaan hudud seandainya PAS memerintah Malaysia.

Pemimpin masyarakat dari Bukit Pelanduk itu mendesak supaya pemimpin Umno yang menyeleweng segala hasil negeri termasuk mereka yang menyeleweng pampasan yang dijanjikan untuk penternak khinzir dihukum dengan hukuman hudud.

Tidak betullah tanggapan yang mengatakan orang Cina takut dengan hukuman hudud,kerana yang sebenarnya takut hanyalah pencuri pencuri.

Mr Yap begitu hairan dengan gelagat pemimpin Umno Negeri Sembilan di bawah Isa Samad,mereka bukan sahaja menyelewengkan hasil negeri tapi duit pampasan 'babi' pun mereka nak kebas juga.Beliau sempat menunjukkan kepada saya senarai nama orang orang yang tak dikenali yang bakal menerima duit pampasan tersebut.Siapa?Berpuluh puluh nama orang Melayu tersenarai nama sebagai penternak babi yang bakal menerima pampasan.

Mulanya saya terfikir,mungkinkah ada orang Melayu di negeri ini turut menternak babi yang dikatakan membawa pulangan yang lumayan.Tapi menurut Mr Yap,nama itu sengaja dimasukkan oleh pemimpin Umno supaya wang pampasan itu dapat masuk ke poket pemimpin tertentu.Tuan punya nama tidak tau menahu pun nama mereka wujud sebagai penternak babi yang yang bakal menerima pampasan. Begitu sekali tergamak mereka mencari makan dengan duit yang dua kali jatuh haram,haram menipu sekali,haram duit babi sekali.

Itulah yang menyebabkan Mr Yap bersungguh untuk menyerahkan memorandum menyokong hudud kepada Presiden PAS.Selepas penyerahan memorandum tersebut,Mr Yap banyak berdamping dengan PAS walaupun beliau menjadi ahli PKR.Sumbangan beliau tentu sahaja besar sekali dalam merapatkan PAS dengan masyarakat Cina di Negeri Sembilan.

Semalam melalui berita di Harakahdaily,saya baru sahaja mengetahui Mr Yap telahpun meninggal dunia dalam keadaan beliau belum sempat melihat pencuri pencuri tersebut dipotong tangannya.