Setelah berpuluh tahun menjadi hamba di tanah sendiri,peneroka Felda Kemahang hari ini berjaya membuktikan mereka bukanlah rakyat yang boleh diperbodohkan selama-lamanya oleh Felda.
Pengerusi Lujnah Peneroka Dewan Pemuda PAS Pahang,Ustaz Shahril Azman Abd Halim berkata,kejayaan 354 peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah dalam saman terhadap Felda Palm Industries Sdn. Bhd. merupakan satu kejayaan besar dan titik permulaan kepada seluruh peneroka Felda di negera ini untuk terus bersemangat memperjuangkan hak mereka yang kebanyakannya ditindas dan ditipu Felda selama ini.
Katanya ,selama ini berpuluh tahun keringat peneroka diperah untuk kepentingan Felda,tetapi apabila Felda berjaya menjadi badan koperat yang besar di negara ini dan mengaut berbagai keuntungan hasil jerih payah peneroka,Felda sedikitpun tidak menghargai jasa-jasa peneroka.
Bahkan tambah Ustaz Shahril lagi,Felda sering mengugut peneroka dengan berbagai ugutan dan mengajak peneroka bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan.
"Sepatutnya Felda lah yang kena berterima kasih kepada peneroka yang bersusah payah membangunkan tanah Felda",ujar beliau lagi.
"Felda telah mengenakan berbagai bayaran yang wajib di bayar oleh peneroka setiap bulan,tetapi bila Felda dah kaya,apa pulangan yang mereka dapat?",soal beliau lagi.
Sementara itu pejuang generasi kedua Felda saudara Mazlan Aliman berkata kes tersebut bukan sahaja berlaku di Kemahang malah penipuan urus niaga penjualan hasil kelapa sawit turut terjadi hampir di seluruh negara.
"Kes ini merupakan satu peringatan kepada Felda dan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Felda Dato' Seri Najib Tun Razak supaya tidak terus menindas dan menipu golongan peneroka dan memerah keringat mereka tanpa membayar bayaran yang setimpal," katanya
"Jangan selamanya ingat peneroka bodoh dan kes ini membuktikan apa yang diperjuangkan selama ini oleh mereka adalah benar dan terbukti wujud penyelewengan di dalam pengurusan Felda," katanya sambil mengucapkaan tahniah kepada peneroka yang terbabit kerana menang saman dalam kes tersebut.
Beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Malaysia (Anak) menjelaskan selama ini kebanyakan pengilang Felda di seluruh negara tidak mengikut harga pasaran dan KPG (Kadar Perahan Gred) yang standard yang telah menyebabkan kerugian yang besar kepada para peneroka sekitar RM150.00 sehingga RM250 setiap bulan bagi setiap gred.
Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu Dato' Mohd. Azman Husin memerintahkan Felda dan Felda Palm Industries Sdn. Bhd. membayar ganti rugi RM7.8 juta kepada 354 peneroka tersebut berkuatkuasa serta merta.
"Mahkamah mendapati berdasarkan kepada keterangan-keterangan dalam perbicaraan, memang wujud bukti konspirasi antara pengurus Felda dan kilang berkenaan untuk menipu gred harga kelapa sawit.
"Mahkamah juga berpuas hati bahawa kadar gred harga kelapa sawit yang diberikan oleh pihak berkenaan kepada peneroka adalah tidak munasabah," kata Mohd. Azman dalam penghujahannya.
Mazlan yang juga AJK PAS Pusat menambah, isu penipuan urus niaga ini bukanlah satu perkara baru malah ianya merupakan antara salah satu senarai kepincangan Felda yang mendatangkan rasa tidak puas hati peneroka selama ini dan akan terus diperjuangkan agar hak-hak mereka sebagai peneroka akan dikembalikan.
"Kesimpulannya, penyelewengan Felda terlalu banyak dan kes ini kita boleh jadikan sandaran di masa akan datang supaya peneroka terus bangkit dan berani memperjuangkan nasib mereka yang ditindas.
"Dan kes ini tidak akan terhenti di sini dan kita memberi amaran tegas kepada Najib supaya memperbetulkan keadaan dan tidak selamanya memperbodohkan peneroka Felda selama ini dengan pelbagai janji manis sedangkan di sebaliknya memerah tenaga dan menipu peneroka dengan membayar ganjaran yang tidak setimpal dengan apa yang diusahakan," kata Mazlan yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Petani, Peneroka, Penternak dan Nelayan PAS.