Monday, October 26, 2009

Dari Bagan Pinang Ke Pulau Pinang

Masjid Kapitan Keling,bahagian dalam

Masjid Kapitan Keling,dari luar
Pulau Pinang dari atas KOMTAR
Selesai rehat dari keletihan beberapa minggu berulang alik ke Bagan Pinang,Jumaat lalu bersama AJK Lujnah Tanah PAS Pusat kami bergerak dari beberapa lokasi ke utara tanahair bagi meneruskan tugas yang diamanahkan jamaah.Destinasi kami ialah Pulau Pinang yang di bawah tadbir Pakatan Rakyat.

Misi kami ialah meninjau nasib umat Melayu Islam Pulau Pinang yang perlukan perhatian kerajaan Pakatan Rakyat setelah lama sekali terpinggir di bawah Barisan Nasional.
Saya bersama saudara Mazlan Aliman ,pejuang generasi kedua Felda yang sentiasa gigih.Beliau ialah Pengerusi Lujnah Tanah Dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.Saya ialah Setiausahanya yang tentu sekali jauh tertinggal ke belakang berbanding Mazlan.Kami berdua bersama dengan Yuhanis sahabat saya ketika di INTIS yang kini AJK Lujnah.Kami sebuah kereta dari Taman Melewar.

Kumpulan yang lain ialah YB Iskandar Samad ,Exco Kerajaan Selangor bersama keluarga,Dr Abu Bakar Mohamad seorang pakar cendawan yang juga AJK Lujnah bersama isterinya.PJ PAS Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar yang juga calon Bagan Pinang bersama rombongan sahabat dari Seremban turut serta dalam XPDC ke Pulau Mutiara ini walaupun letihnya di Bagan Pinang masih terasa.Beliau ialah Timbalan Pengerusi Lujnah.

Program kami bermula Jam 9.00 pagi Sabtu.Semua Ajk Lujnah berkumpul di Pejabat ADUN Permatang Pasir Ustaz Salleh Man yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri.Selepas sarapan pagi yang disediakan tuan rumah program,kami mengikuti taklimat dari Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang itu diikuti dengan perbincangan mengenai rancangan mengadakan satu seminar khusus membincangkan masalah masalah yang dihadapi penduduk melayu Islam Pulau Pinang yang terabai sekian lama di bawah kerajaan Barisan Nasional.Harapannya tentulah mahu melihat ruang ruang yang ada di bawah kerajaan baru ini dapat dimanafaatkan bagi memperbaiki taraf hidup mereka yang memerlukan perhatian semua.

Jam 11.30 tengahari kami ke Bangunan KOMTAR yang menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.Di sana kami mengadakan dailog yang cukup bermanafaat dengan Exco Agama,YB Malek.Berbagai cadangan dan usaha sedang dilakukan oleh pihaknya untuk memajukan pembangunan agama di negeri tersebut.Antara yang menarik ialah hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan sekurang kurangnya satu hafiz dalam satu keluarga.Beliau juga sedang merancang mengadakan Ijtimak Hufaz yang akan menghimpunkan seluruh hafiz di Pulau Pinang.Satu anugerah khas kepada mereka juga akan diwujudkan.

Jam 2.00 petang kami ke Masjid Kapitan Keling,masjid kedua tertua di Pulau Pinang sambil meninjau kawasan tanah wakaf disekitarnya yang turut diabaikan.Terdapat sebuah pasar basah di atas tanah wakaf berhampiran masjid ini.Juga terdapat makam lama dipercayai milik peneroka awal yang membuka Masjid dan kawasan sekitarnya iaitu Syeikh Mustafa Wali ,yang kuburnya dalam keadaan tidak terurus.Lebih menyedihkan pasar basah disebelahnya menjual daging babi sejak sekian lama.

Jam 5.00 petang kami ke Tanjung Tokung bertemu penduduk yang bimbang kampung mereka bakal pupus terus dari bumi Pulau Pinang.

Jam 6.45 petang kami bergerak pulang ke distinasi masing masing.Manakala Mazlan dan Zul terus menunggu untuk ceramah semasa di sebelah malamnya.

No comments: