Tuesday, February 21, 2012

Janji 'Durian Runtuh':Jangan Kelirukan Peneroka


Para peneroka yang dijanjikan imbuhan 'durian runtuh' berikutan cadangan penyenaraian Felda Global Ventures di Bursa Malaysia diingatkan jangan terlalu ghairah sehingga begitu mudah menyerahkan dokumen peribadi seperti salinan kad pengenalan dan geran tanah kepada pihak tertentu dalam keadaan tidak ada sebarang keputusan hitam putih diperolehi.

Peringatan ini diberikan oleh Ketua Pemuda PAS Pahang,Shahril Azman Abdul Halim berikutan aduan para peneroka terdapat arahan daripada pengurusan Felda yang mengarahkan peneroka menyerahkan beberapa dokumen termasuk salinan kad pengenalan dan geran tanah kononnya untuk disalurkan apa yang disifatkan sebagai 'durian runtuh'.

Menurut Shahril dalam aduan yang diterima pihaknya,ramai peneroka yang keliru dengan arahan yang dikeluarkan pihak pengurusan Felda yang mengarahkan peneroka menyerahkan dokumen berkenaan.

Terdapat peneroka di beberapa rancangan Felda yang menerima surat rasmi dari Pengurus Rancangan dan ada juga yang menerima arahan lisan sahaja.

Peneroka juga dijanjikan secara lisan kononnya akan menerima durian runtuh antara lima ribu ringgit hingga lima belas ribu ringgit berikutan penyenaraian Felda Global Ventures(FGV) di Bursa Malaysia.

"Kalau nak bagi durian runtuh,kenapa minta salinan geran?",soal beliau.

Apa yang menghairankan pihaknya,bagaimana pihak berkenaan boleh menabur janji tersebut sedangkan penyenaraian FGV di Bursa Malaysia masih belum muktamad.

Shahril juga hairan dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Ahmad Maslan yang sebelum ini mengumumkan tarikh 10 Mei untuk FGV disenaraikan.

"Macamana beliau boleh tetapkan tarikh,sedangkan persetujuan dari anggota Koperasi Permodalan Felda(KPF) yang memiliki 51 peratus syer di dalam Felda Holding belum lagi diperolehi",kata beliau.

Tambah Shahril lagi,Mahkamah Tinggi Kuantan Jumaat lalu telahpun meluluskan permohonan injunksi yang difailkan oleh ahli ahli KPF yang membantah pelupusan ekuiti mereka di dalam Felda Holding kepada Felda Global Ventures.

Perintah mahkamah yang telahpun diserahkan Peguam Mohd Haris Abdullah mewakili ahli ahli KPF yang memfailkan tuntutan tersebut kepada pihak KPF petang semalam telah melarang pihak KPF daripada membincangkan tentang pelupusan ekuiti tersebut kepada Felda Global Ventures.

Dalam perintah tersebut KPF juga dilarang menguatkuasa sebarang keputusan,sekiranya telah diperolehi untuk melupuskan ekuiti KPF di dalam Felda Holding Berhad(FHB) dan sepuluh anak syarikat milik FHB kepada FGV.

Beliau juga dimaklumkan oleh pihak peguam,sekiranya berlaku perbicaraan yang ditetapkan tarikh oleh mahkamah pada 8 Mac depan ianya akan berlanjutan hingga tempoh mencecah sembilan bulan,dan sepanjang tempoh itu pihak KPF tidak boleh membuat apa apa keputusan untuk melupuskan ekuitinya di dalam FHB kepada FGV.

Sehubungan itu pihak Felda diminta memberi penjelasan rasmi berkaitan dengan arahan yang dikeluarkan yang menyebabkan kekeliruan di kalangan peneroka.

1 comment:

HarrisAbdullah said...

Link blog ana sekali www.teatimewithharris.blogspot.com