Wednesday, July 23, 2008

Isu Muzakarah:Golongan 'PAS Tulin' Menangkan BN di Parit Buntar PRU 1990

Sejak timbul isu muzakarahPAS Umno yang dimainkan media massa,berbagai suara kebimbangan dari kalangan ahli bawahan telah diluahkan terutamanya di laman-laman web.Tak kurang juga munculnya kumpulan-kumpulan 'pencinta PAS' yang tak tahu dari mana datangnya bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan,memberi amaran keras kepada pimpinan,jangan sesekali menggadai prinsip perjuangan!
Lebih hebat yang berani mengugut pimpinan,"kami akan keluar dari PAS,jika PAS bergabung dengan Umno!".Wah,begitu sayang mereka kepada PAS,kononnya!Bila dah keluar PAS,mereka nak ke mana?Nak tubuh parti baru?Atau sudahnya mereka yang subuh buta lagi dah mengisi borang Umno.
Suara-suara itu ada yang datang dari pendokong tegar PAS dan tak kurang juga hanyalah kumpulan 'harimau jadian' yang mengambil kesempatan meragukan ahli-ahli yang kekurangan maklumat dengan harapan pecahlah parti Islam ini.
Dua puluh tahun lalu,ketika Umno diharamkan gara-gara Ku Li dan Mahathir berperang besar,sudah muncul gelagat ahli dan beberapa kerat pimpinan pertengahan yang melatah seperti hari ini.
Pada waktu itu Dewan Pemuda PAS Pusat telah bertindak bijak mengambil kesempatan di atas perpecahan Umno.Satu majlis makan malam telah dianjurkan.Tetamu istimewa yang diundang ialah Tengku Razaleigh Hamzah,kerabat raja Kelantan yang jatuhkan kerjaan PAS Kelantan pada tahun 1978.
Apa lagi ,melentinglah sebahagian pendokong PAS.Ku Li itulah pengkhianat besar,dosanya tak terampun,tak mungkin sama sekali kerjasama dijalin dengan manusia berdosa itu.Itulah tanggapannya ketika itu.
Pimpinan tertinggi terus melangkah ke hadapan sehinggalah berlakunya Tahalluf Siyasi dengan parti serpihan Umno ,Semangat 46 yang diasaskan Ku Li bersama Musa Hitam,tokoh utama yang dikaitkan dengan Peristiwa Memali .
Sekali lagi berlakunya penentangan di kalangan ahli dan kalangan pimpinan pertengahan yang jenis cepat melatah juga.Setiausaha Dewan Ulama PAS Kelantan,Wan Ismail,Ustaz Mohd Nor Deris anatar tokoh utama di Kelantan yang mengepalai penentangan.
Di Perak Timbalan Pesuruhjaya PAS sendiri yang juga Yang DiPertua PAS Parit Buntar kubu kuat PAS di Perak,bersama sebahagian ahli jawatankuasanya mengetuai pemberontakan menentang kepimpinan PAS Pusat.
Pimpinan PAS telah lari dari dasar perjuangan,kata mereka.Merekalah 'PAS tulin' yang tak boleh sama sekali bekerjasama dengan bekas ahli Umno.Mereka yang tak pernah kenal kalimah 'tahalluf' seumur hidup merasa cukup bijak untuk mengajar pimpinan.
Kawasan Parit Buntar ketika itu lumpuh sama sekali.Ustaz Hassan Syukri Setiausaha Agung PAS ketika itu diberi peranan menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu.
Dalam satu perjumpaan antara ahli-ahli PAS yang bersama kumpulan yang digelar 'Islah' dengan Ustaz Hassan Syukri pada tahun 1990 sebelum pilihanraya umum di Parit Buntar yang kebetulan penulis sendiri ada dalam majlis tersebut,Ustaz bersungguh-sungguh menerangkan tentang Tahalluf Siyasi kepada ahli-ahli yang belum faham.Bila saoalan dibuka,tidak ada pula yang berhujah menentang keputusan yang dibuat oleh pimpinan pusat.
Bagaimanpun dalam pilihanraya pada tahun tersebut kelompok degil yang mengaku 'PAS Tulin' ini telah meletakkan calon Bebas menentang calon 46 dan BN.Keputusannya Rahman Sulaiman dari BN menang dengan majoriti lebih kurang 800 undi lebih,Idris Rauf dari Semangat 46 nyaris menjadi Ahli Parlimen.Haji Jaafar yang bertanding bebas mendapat lebih kiurang 800 undi juga.Ertinya kumpulan 'PAS Tulin' ini lah yang menyelamatkan calon BN.
Manakala di Kelantan,Angkatan Perpaduan Ummah yang dipimpin PAS bersama Semangat 46,Hamim dan Berjasa telah berjaya menamatkan pemerintahan BN di Kelantan dengan meninggalkan dua batu nisan untuk Umno.
Berkat kepintaran pimpinan ulama' yang mengambil langkah bijak ketika itu,hasilnya dapat kita nikmati sehingga ke hari ini,walaupun Ku Li tetaplah seperti Ku Li juga.Kelantan terus diperintah PAS.Mohd Nor Deris dan Wan Ismail jaguh kafirkan Umno akhirnya jadi pemimpin Umno Kelantan.Selesailah masalah kumpulan islah yang menentang kepimpinan ketika itu.
Tahun 98,bila Anwar dipecat,Almarhum Dato Fadzil Noor antara orang yang awal menziarahi beliau dan membela rakan lamanya itu walaupun dosa Anwar kepada PAS juga berlori-lori banyaknya di sisi pendokong PAS.
Tindakan Dato Fadzil juga mengundang kritikan ke atasnya.Seorang pensyarah di sebuah kolej milik koperasi ahli-ahli PAS bercakap kepada penulis,Dato Fadzil Noor memandai-mandai katanya.
Seorang Ketua Pemuda PAS di sebuah negeri selatan tanahair yang penulis menjadi exco DPP negeri ketika itu telah melarang penulis mengedarkan kaset ceramah sulung Anwar selepas dipecat.Katanya ,penulis bersyubhat menyokong Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun penentangannya tidaklah seteruk pada tahun 1990.
Selepas PAS dapat pula menawan Terengganu pada pilihanraya 1999,timbul pula cerita perundingan antara PAS dan Umno di bawah Dr Mahathir.Sekali lagi Ustaz Fadhil dibelasah oleh kelompok suka melatah ini.
Tetapi Almarhum cukup bijak menempis serangan-serangan dari kalangan perwakilan di dalam persidangan muktamar ketika itu.Bertalu talulah serangan dan peringatan kepada Presiden PAS itu supaya jangan sesekali berunding dengan Umno kerana parti itu tidak boleh dipercayai.
Apa jawapan Ustaz Fadhil?"Berunding dengan orang yang tak dipercayai lebih baik dari berunding dengan orang yang kita percaya,kerana kita tak kan mudah ditipu oleh mereka yang memang kita tidak percayai..".

No comments: