Friday, September 26, 2008

Perutusan Aidilfitri Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Krau/Ketua Lujnah Peneroka Pemuda PAS Pahang

Perutusan Aidil Fitri 1429 H

Assalamualikum warahmatullah wabarakatuh...

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mewajibkan kita berpuasa sebulan di bulan Ramadhan bagi melahirkan manusia yang beriman dan bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. yang telah menjelaskan kepada kita bagaimana untuk menjadikan puasa yang kita lakukan itu sempurna dan diterima oleh Allah Azza Wajalla.

Umat Islam hendaklah yakin dan percaya bahawa sesuatu yang diwajibkan oleh Allah supaya dilaksanakan bukanlah untuk mendera dan membebankan hambaNya bahkan untuk memulia dan mengurniakan manfaat kepada mereka.

Salah satu tarbiah dan didikan yang ada dalam ibadah puasa ialah bagaimana ia mendidik kita selama sebulan tidak makan dan minum di siang hari supaya kita merasai lapar dalam tempuh 12 jam. Antara tujuannya: supaya kita merasai dan menyelami betapa menderitanya sahabat-sahabat seIslam dengan kita yang tidak makan selama beberapa hari disebabkan musibah yang menimpa mereka. Dan yang paling penting daripada latihan berlapar ini ialah supaya kita tidak termasuk di kalangan orang yang paling lama lapar di akhirat nanti sebagaimana sabda Nabi s.a.w. :
عَن ابْنِ عُمَرَ قَالَ تَجَشَّأَ رَجُلٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ كُفَّ عَنَّا جُشَاءَكَ فَإِنَّ أَكْثَرَهُمْ شِبَعًا فِي الدُّنْيَا أَطْوَلُهُمْ جُوعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
" Daripada Ibnu Umar r.a. katanya: seorang lelaki sendawa di sisi Nabi s.a.w., maka berkata Nabi: Tahanlah sendawa kamu daripada kami, maka sesungguhnya orang yang paling banyak dan lama kenyangnya di dunia adalah merupakan orang yang paling lama laparnya pada hari kiamat nanti" (riwayat Tirmizi)

Diatas kejayaan kita menunaikan perintah Allah sebulan di bulan Ramadhan, maka bagi mengembirakan umat Islam, Allah kurniakan hadiah kemenangan Aidil Fitri dan dalam masa yang sama Ia memerintahkan kita supaya menyambutnya dengan membesar dan mengagongkan Allah dari segala-galanya bukan dengan melakukan perkara yang bertentangan dengan kehendak Allah yang Maha Berkuasa.

Supaya hari raya kali ini lebih bermakna bagi pejuang-pejuang Islam yang cintakan Islam kerana fajar kemenangan Islam sudah mula bersinar. Agama Islam hari ini sudah mula diterima oleh orang bukan Islam, bukan sahaja di Malaysia bahkan diseluruh dunia hatta rakyat Amarika sendiripun sudah mula menerima Islam sebagaimana pegangan akidah mereka dan tidak mustahil 10 ke 20 tahun akan datang Islam akan menjadi agama kedua terbesar di Amarika selepas kristian.

Oleh itu teruskan perjuangan, istiqamah dan yakinlah bahawa jalan yang kita pilih ini adalah benar dan insyaAllah kita semua akan di redhai Allah di dunia dan akhirat.

Sekian,
Akhukum Fil Islam
Shahril Azman Abd. Halim al-Hafiz

No comments: