Friday, October 3, 2008

Polis Mengamuk:Pimpinan Pemuda PAS Lipis Terselamat

Hasbullah Ludin pimpinan Pemuda PAS Lipis yang juga abang kepada Mutacohiri Ludin Exco Pemuda PAS Pahang terselamat walaupun cermin keretanya depan dan belakang pecah di tembak seorang polis yang mengamuk di Lipis semalam.

Sebaik menonton Buletin Utama TV 3 malam tadi yang menyiarkan kejadian tersebut,saya terus menelefon saudara Basirun Wartawan Harakah Pahang yang beraya di Lipis untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian.

Menurut Basirun,Hasbullah terselamat walaupun peluru dari pistol polis tersebut menembusi cermin belakang dan terus ke cermin depan.Beliau dipercayai sempat menundukkan kepalanya ketika tembakan di lepaskan.

Berita di Utusan Malaysia hari ini:
Anggota polis lepaskan 58 das tembakan

KUANTAN 2 Okt. - Gara-gara melepaskan 58 das tembakan ke udara akibat tekanan perasaan, polis hari ini menahan seorang anggota polis berusia 22 tahun bagi membolehkan dia dirujuk ke Jabatan Psikiatri Hospital Lipis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Komisioner T. Narenasegaran berkata, anggota polis dipercayai berasal dari Kelantan itu kini ditahan di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan di kawasan yang tidak sah.

Katanya, anggota polis terbabit turut dirujuk ke Hospital Lipis bagi melakukan pemeriksaan psikologi untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian yang amat jarang berlaku di kalangan pegawai dan anggota polis di negara ini.

"Punca kejadian belum dikenal pasti dan polis masih menunggu laporan pemeriksaan hospital selain akan melakukan soal siasat ke atas anggota polis berkenaan terlebih dahulu.

''Polis tidak menolak kemungkinan lelaki berkenaan yang melepaskan berpuluh-puluh das tembakan secara rambang termasuk ke keretanya sendiri menghadapi tekanan sehingga sanggup bertindak demikian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, tembakan tersebut turut terkena beberapa kenderaan lain yang berada di kawasan berhampiran tetapi tidak ada kecederaan dilaporkan.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pihak polis juga belum menerima laporan mengenai kenderaan yang terkena tembakan tersebut.

Semalam Bernama melaporkan, seorang anggota polis melepaskan 58 das tembakan ke udara dipercayai akibat mengalami tekanan dalam satu kejadian di Kampung Selendang, Padang Tengku, Kuala Lipis.

Ketua Polis Daerah Lipis, Deputi Supritendan Abdul Razak Hassan dipetik sebagai berkata, anggota polis itu bertindak demikian pada pukul 6.30 pagi di kawasan berhampiran satu tanah perkuburan Islam.

Menurut beliau, anggota polis itu yang baru berkhidmat selama tiga tahun, turut melepaskan tiga das tembakan ke arah keretanya sendiri.

Abdul Razak berkata, anggota polis itu membawa pulang pistol yang sepatutnya ditinggalkan di tempatnya bertugas di Balai Polis Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan.

Sementara itu, menjawab satu soalan, Narenasegaran berkata, beliau tidak pasti bagaimana anggota polis yang bertugas di Balai Polis Simpang Durian itu boleh berada Kuala Lipis.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit singgah di situ ketika dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Kelantan.

Tambahnya, anggota polis berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan sedang melalui pemeriksaan hospital.

"Kejadian ini juga mungkin berkait dengan masalah peribadi anggota polis itu sendiri.
"Bagaimanapun kita bersyukur kerana tiada siapa yang cedera dalam kejadian itu," katanya.

No comments: